Sesi tandatangan perjanjian kerjasama di iSOLA 2024.
Sesi tandatangan perjanjian kerjasama di iSOLA 2024.

iSOLA 2024 rai jalinan kerjasama sedekad antara Malaysia dan Indonesia

11 Sep 2024 03:30pm

Simposium Antarabangsa Pendidikan Bahasa dan Seni (iSOLA) 2024 yang kelima telah dilangsungkan di Fakultas Bahasa, Seni dan Budaya, Universitas Negeri Yogyakarta, Indonesia, Ogos lalu.

iSOLA 2024 yang bertemakan ‘Lokaliti Budaya dan Kreativiti Global’ itu bertujuan meraikanpenerokaan budaya dan penyelidikan pendidikan dalam bidang seni, bahasa dan budaya dari Malaysia serta Indonesia.

Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) dan Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) merupakan penganjur bersama dengan sokongan rakan kolaboratif termasuk Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sekolah Seni Malaysia, Yayasan Seni Selangor, Galeri Shah Alam, serta Institut Pendidikan Guru.

Sempena sambutan sedekad iSOLA, pelbagai aktiviti menarik telah diatur termasuk simposium akademik, bengkel dan forum bicara seni, pameran seni dan inovasi, karnival pendidikan dan kebudayaan serta program khidmat komuniti.

Majlis mencapai kemuncak pada sesi tandatangan pelbagai perjanjian kerjasama, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU), Memorandum Perjanjian (MoA), dan Surat Minat (LoI) antara UiTM dengan institusi yang terlibat, termasuk SMK Negeri 5 Yogyakarta dan Yayasan Pesantren dan Panti Asuhan Bima Bakti Yogyakarta.

Antara MoU, MoA, dan LoI yang dimeterai di iSOLA 2024.
Antara MoU, MoA, dan LoI yang dimeterai di iSOLA 2024.

Sehubungan itu, majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Malaysia Indonesia, Kedutaan Malaysia di Jakarta, Dr Hasnul Faizal Hushin Amri.

Majlis itu turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Pendidikan UiTM, Profesor Dr Sharipah Ruzaina Syed Aris; Dekan Fakultas Bahasa, Seni dan Budaya, Universitas Negeri Yogyakarta (UNY), Profesor Dr Nur Hidayanto; serta Dekan Fakultas Pendidikan Seni dan Desain, Universitas Pendidikan Indonesia(UPI), Profesor Dr Phil Yudi Sukmayadi.

Artikel Berkaitan:

Pengarah iSOLA 2024, Sumardianshah Silah menyatakan harapan beliau agar iSOLA 2024 dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak yang terlibat, seterusnya menyumbang kepada pembangunan institusi pendidikan yang berkompetensi dan berketerampilan dalam bidang pendidikan bahasa, seni serta budaya.

“Usaha ini sejajar dengan aspirasi ASEAN untuk meningkatkan kelestarian kualiti dan daya saing pendidikan di rantau dalam memastikan kesinambungan warisan budaya serumpun dalam era globalisasi,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp