Izz Imil, pelajar berusia 12 tahun daftar di UM. 'Anugerah ALLAH yang amat bernilai' - Warganet
Siapa sangka di usia yang masih muda, sudah melangkah ke dunia universiti!
Pencapaian ini sudah semestinya sesuatu yang luar biasa dan membanggakan ramai.
Sebagai contoh, Izz Imil Shahrom yang baru berusia 12 tahun, telah mengejutkan seluruh rakyat Malaysia apabila menjadi pelajar termuda di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik, Fakulti Sains.
Dia yang baru sahaja mendaftar di UM pada Sabtu, dikatakan pelajar paling muda sejak universiti berprestij itu ditubuhkan pada tahun 1962.
Memetik perkongsian pengguna Facebook, Fatimah Kari, beliau memaklumkan, Izz Imil kini pelajar tahun pertama dalam bidang tersebut.
"Pada usia enam tahun, Izz Imil memasuki Tingkatan Satu di bawah program Permata Pintar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan O-Level pada usia lapan tahun, diikuti dengan A-Level pada umur 11 tahun. Sejarah tercipta. Alhamdulillah,” catatnya.
Menjengah ke ruangan komen di laman media itu, ramai yang meluahkan rasa terkejut dengan kejayaan Izz Imil.
Tidak kurang juga, memberi kata-kata pujian sekali gus mendoakan kecemerlangan pelajar ini di UM nanti.
“Tahniah, adik. Antara genius Malaysia. Semoga dapat berbakti kepada keluarga, agama dan bangsa,” kata Nor Hak'k.
“Semoga dibimbing dengan baik agar menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat,” tulis Hassanuddin Mohamed Noor
“Young Sheldon Malaysia. Good job adik. Semoga terus cemerlang dunia dan akhirat. Insha Allah,” catat Muhamad Hasnan Zainal
“Ya ALLAH, pandainya kamu. Tahniah semoga terus berjaya,” ujar Zabedah Khalid
Sementara itu, menurut pengguna akaun Facebook Fdaus Ahmad, Izz Imil merupakan kanak kanak dengan Mild Autism ketika kecil dalam Spectrum High Functioning dan dikategorikan sebagai Hyperlexic atau Einstein Syndrome.
“Akibat daripada Mild Autism itu, adik Izz tidak boleh mendengar bunyi bising.
“Dia telah mengikut ibunya yang bekerja di Houston, Texas dan mendapat peluang mengikuti terapi di University of Texas Hospital,” kongsinya.
Tambah beliau, Izz Imil gemar membaca buku Secret of Mental Math dan lancar dalam pemahaman Periodic Table of Element seawal umur lima tahun.
Malah, ketika berumur enam tahun, tahap pemikirannya sudah menyamai pelajar berumur 16 tahun dan usia dua tahun pula, dia sudah boleh mengira, membaca rumi dan Jawi.
Beritahu Fdaus Ahmad, adik Izz Imil bercita cita menjadi saintis negara suatu hari nanti.
“Tahniah adik. Semoga berjaya menjadi 'Suborno Bari' versi Malaysia, insya ALLAH,” maklumnya.