Jarak bukan penghambat kemesraan Aidilfitri
Hari Raya Aidilfitri merupakan peristiwa yang menggembirakan di mana ia masa untuk keluarga dan masyarakat Muslim berkumpul, meraikan dan bersyukur setelah berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan.
Jauh di mata, dekat di hati, merupakan salah satu ungkapan yang sering meniti di bibir masyarakat apabila tidak dapat berjumpa dengan orang yang tersayang sewaktu menjelang Aidilfitri.
Tradisi yang sering diamalkan masyarakat kita adalah pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan ini bersama ahli keluarga.
Menelusuri budaya ini, kita mengetahui bahawa tidak semua orang diberi kesempatan merasai sambutan hari raya yang meriah disebabkan kekangan waktu untuk bekerja pada hari perayaan. Ia kerana tugas dan tanggungjawab mencari rezeki perlu diutamakan bagi menjamin kelangsungan hidup dan ekonomi keluarga yang stabil pada masa kini.
Sungguh pun begitu, sudah pasti kesedihan dan rasa rindu menebal mula terbit apabila mendengar takbir raya di pagi hari 1 Syawal.
Terdapat pelbagai cara untuk menyemarakkan sambutan Aidilfitri walaupun tidak dapat berjumpa dengan orang yang tersayang. Kemajuan teknologi pada era ini mampu mengeratkan tali persaudaraan.
Bagi mereka yang tidak dapat pulang ke kampung halaman, boleh membuat panggilan telefon seperti panggilan video untuk melihat suasana di kampung dan bertanya khabar.
Tambahan pula, kita boleh menghantar mesej dengan ucapan yang ikhlas dari hati supaya mereka dapat membaca luahan itu dengan lebih jelas. Dengan berbuat demikian, kita dapat melepaskan rasa rindu dan mengambil hati ibu bapa yang berada di kampung sebagai tanda ingatan serta kasih sayang yang tiada penghujungnya.
Ringankan beban di kampung
Di samping itu, kita juga boleh memberi hadiah untuk kekal berhubung dengan keluarga tersayang. Sebagai contoh, membuat pesanan di aplikasi jualan atas talian dan menghantar kuih raya, baju, beg atau barang hiasan rumah seperti langsir kepada ibu bapa di kampung supaya dapat membantu meringankan beban mereka untuk membuat persediaan menyambut hari raya.
Tidak dinafikan, terdapat segelintir anak rantau yang sudah bekerja membiarkan ibu bapa mereka mencari sendiri barang persediaan raya tanpa memberi apa-apa barangan persediaan.
Perkara ini akan mengakibatkan ibu bapa terbeban kerana perlu menggunakan perbelanjaan yang tinggi. Maka, alternatif yang boleh digunakan untuk membantu ibu bapa di kampung adalah dengan memberi kiriman wang, supaya mereka membeli barangan mengikut keperluan dan kehendak mereka.
Adakalanya ibu bapa mempunyai citarasa yang tersendiri dalam membuat persiapan hari raya.
Dengan berbuat demikian, pastinya ibu bapa kita akan berasa gembira dan bersyukur atas rezeki yang ada. Hal itu menunjukkan bahawa tiada alasan untuk si anak tidak menghulur bantuan kepada ibu bapa walaupun tidak berjumpa di depan mata.
Sebagai ahli keluarga pula, kita sewajarnya menerima dengan berlapang dada bahawa terdapat ahli yang lain perlu melaksanakan tanggungjawabnya di tempat kerja.
Saranan yang boleh dilakukan adalah dengan memberikan sokongan moral supaya mereka tidak berasa sedih dan bermotivasi untuk bekerja demi mencari rezeki. Penghantaran mesej yang ringkas seperti “Selamat hari raya, Abang Long! Kami semua sayang dan rindu pada abang” sudah cukup untuk menyentuh hati mereka.
Kita juga boleh mengirimkan kad raya supaya mereka berasa dihargai serta bersemangat untuk bekerja. Tidak dinafikan tradisi pemberian kad raya ini sudah semakin berkurangan dengan wujudnya pelbagai aplikasi internet yang mudah dan percuma.
Pemberian kad raya ini membuatkan si penerima berasakan yang keluarga di kampung sentiasa memberi sokongan dan mengingati pengorbanan mereka.
Kesimpulannya, usaha yang kecil boleh memberi impak yang besar.
Walaupun hanya dengan panggilan telefon yang ringkas, mesej yang menyentuh hati atau lucu, boleh menceriakan hari seseorang serta membantu mereka menstabilkan emosi dan fokus untuk bekerja pada hari raya.
Kita juga berperanan menjadi individu yang memahami supaya tidak berlakunya perselisihan faham, perbalahan atau perkara-perkara tidak diingini yang boleh memberi kesan kepada hubungan kekeluargaan.
Ayuh kita wujudkan keseronokan berhari raya untuk semua ahli keluarga, biar di mana mereka berada.
Jangan biarkan jarak menjauhkan kita dari semangat sebenar perayaan ini!
Maklumat Penulis
1 - Timbalan Dekan (Program Ijazah Dasar), Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) dan Anggota Lembaga Kaunselor Malaysia, Dr Azmawaty Mohamad Nor.
2 - Kaunselor Pelatih dari Fakulti Pendidikan UM, Nurfarahira Ahmad Yaccob.
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my