Juara Piala Dunia Malaysia, pasukan debat Tionghua USM bakal mewakili Asia Tenggara di China Ogos ini

AZLEENDA SAHALUDIN
28 Mar 2023 12:09pm
A
A
A

Pasukan Debat Persatuan Bahasa Tionghua (PBT), Universiti Sains Malaysia (USM) muncul Johan Keseluruhan dalam Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia Peringkat Asia Tenggara 2023 yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1 (DPS1), Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA), USM.

Pertandingan yang berlangsung dari 25 hingga 26 Mac itu menyaksikan lima pasukan terbaik berentap daripada 15 penyertaan seluruh universiti dari Malaysia dan Singapura.

Pada pusingan akhir, USM berjaya menewaskan pasukan Universiti Malaya (UM) yang dinobatkan sebagai Naib Johan keseluruhan pertandingan dengan usul ‘Sekiranya AI Dapat Memenangi Manusia Dalam Dunia Perdebatan, Adakah Ia Perkara Yang Menggembirakan Atau Menyedihkan?’

Hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian penutupan pertandingan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.turut hadir ketika majlis perasmian penutupan Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia Peringkat Asia Tenggara 2023.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.turut hadir ketika majlis perasmian penutupan Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia Peringkat Asia Tenggara 2023.

Hui Ying dalam ucapannya berkata, beliau berbesar hati dijemput ke majlis penutupan tersebut dan telah menyaksikan sesi debat yang cemerlang dengan kemahiran berdebat yang tinggi ditunjukkan oleh pendebat-pendebat pertandingan.

Pasukan debat PBT USM terdiri daripada mahasiswa pelbagai jurusan sains dan sastera iaitu Teo Zhi Zhen (Pusat Pengajian Pengurusan); Shiji Yin (Pusat Pengajian Teknologi Industri); Cheah Mee Yee (Pusat Pengajian Sains Komputer); Yan Han (Pusat Pengajian Bahasa, Literasi Dan Terjemahan); Chew Li Liang (Pusat Pengajian Sains Kajihayat) dan Loh Qian Qian (Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan).

Kemenangan yang diraih pasukan ini juga turut melayakkan mereka mewakili Asia Tenggara ke peringkat akhir dalam Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia di China yang akan diadakan pada Ogos ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Jelfariny Jelahni mewakili Timbalan Naib Canselor HEPA berkata, perdebatan ini dapat membantu mahasiswa untuk meningkatkan kemahiran berfikir, berkomunikasi dan keyakinan diri.

Ia selari dengan agenda APEX USM yang mengutamakan kecemerlangan mahasiswa dalam mewujudkan institut pengajian tinggi (IPT) yang setanding dengan universiti terbaik di dunia.

“Suka saya ingatkan kepada semua mahasiswa supaya terus aktif dalam pelbagai aktiviti yang bermanfaat seumpama ini dan terus harumkan nama universiti masing-masing di mana sahaja anda berada,” tambah Jelfariny.

Dalam pada itu, selain menjadi Juara Keseluruhan Pertandingan, pendebat terbaik turut dianugerahkan kepada ketua kumpulan pasukan USM iaitu Teo Zhi Zhen.

Ujar Zhi Zhen, besar harapannya bersama ahli pasukan untuk memenangi Piala Dunia pertandingan itu yang mana seluruh ahli pasukan akan terus berusaha keras untuk mencapai ‘target’ menjadi juara di peringkat antarabangsa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok