KAFA UMS komited fokus kemenjadian murid seimbang ilmu, adab dan sahsiah
Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited melahirkan murid-murid KAFA yang memahami dan menguasai ilmu agama serta asas fardu ain.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, KAFA UMS menitikberatkan ilmu, adab dan akhlak dalam membentuk kemenjadian diri murid-muridnya.
Katanya, kejayaan murid-murid KAFA bukan hanya diukur pada anugerah yang diraih tetapi kemenjadian insaniah seseorang murid adalah pengukur kejayaan sebenar.
“Sebagai orang Islam khususnya anak-anak murid KAFA, kemenjadian seorang murid itu tentulah melibatkan sisi adab dan akhlak yang mulia.
“Sebagaimana Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada kaum musyrikin Mekah untuk mengajarkan mereka adab dan akhlak Islam dahulu sebagai tunjang dalam memperbaiki dan memperkuatkan lagi keimanan. Sehinggakan kemuliaan adab dan akhlak menjadi salah satu keistimewaan yang mencerminkan agama Islam mendahului ilmu itu sendiri.
“Saya mendoakan semua anak-anak didik KAFA ini berjaya mendapat manfaat daripada ilmu yang dituntut sepanjang melanjutkan sesi persekolahan di sini. Semoga ilmu ditimba akan menjadi amal ibadah dan diterima oleh ALLAH," ujarnya ketika merasmikan Majlis Anugerah Prestasi Cemerlang KAFA UMS bagi sesi 2023/2024 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri KAFA Pusat Islam UMS, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UMS, Dr Sarip Adul berkata, kejayaan anak-anak dicapai apabila matlamat modal insan Islam berjaya dibentuk oleh generasi akan datang dengan keseimbangan ilmu dan keindahan adab serta sahsiah.
“Pelaburan terbesar kita sebagai ibu bapa adalah anak-anak yang soleh dan solehah. Janganlah kita sesekali meletakkan kepentingan lain melebihi kepentingan dan keutamaan pendidikan agama ke atas anak-anak.
“Bersederhana dalam mendidik dan utamakanlah agama sebagai tunjang dan panduan utama. Pesan saya untuk diri sendiri, para ibu bapa dan guru, didiklah anak-anak dalam usaha membentuk generasi yang mencintai agama Islam melebihi hal yang lain,” katanya.
Pada majlis tersebut, seramai 90 murid diraikan dalam lapan kategori iaitu Pelajar Cemerlang Ujian Akhir Akademik, Pelajar Terbaik Sahsiah, Anugerah Tokoh Pelajar Perempuan dan Lelaki serta Anugerah Tokoh Pelajar Mithali.
Turut diraikan, Graduasi Tahun Lima dan Tahun Enam, Anugerah Kecemerlangan UPKK bagi Sesi 2023/2024, Anugerah Kejohanan Pertandingan Ihtifal dan Anugerah Pelajar Cemerlang 8A UPKK Sesi 2022/2023.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Duru (PIBG) KAFA Pusat Islam UMS, Azmi Jumat dan Penyelia KAFA Daerah Menggatal, Abdul Shukur Tamboroh.