Jaynie (kiri) dan Janet (kanan) menerima skrol ijazah masing-masing dalam Majlis Konvokesyen UMS kali ke-26.
Jaynie (kiri) dan Janet (kanan) menerima skrol ijazah masing-masing dalam Majlis Konvokesyen UMS kali ke-26.

'Kami saling bantu-membantu' - Rahsia kembar seiras raih kejayaan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
10 Dec 2024 11:09am

Saling bantu-membantu dalam pelbagai situasi sama ada akademik, kokurikulum atau kehidupan seharian menjadi perkara biasa buat pasangan kembar seiras berusia 23 tahun ini.

Bagi mereka, kecemerlangan akan terhasil jika segala ‘kerja buat’ dilakukan bersama-sama.

Jaynie Jamirin dan Janet Jamirin yang baru menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, walaupun sentiasa berdua, namun ada kalanya mereka berdepan dengan dugaan dalam pengajian.

"Pelbagai cabaran perlu dilalui sepanjang pengajian ini tetapi semangat kami untuk mencapai kejayaan tidak pernah pudar.

"Saya (Jaynie) mengambil Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Ekonomi Sumber Manusia) dan Janet (Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan), masing-masing dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP).

"Walaupun berbeza jurusan, tetapi kami tetap saling tolong - menolong dalam pelajaran. Jika ada yang kurang jelas, saya dan adik (Janet) akan segera menemui pensyarah bagi menyelesaikan masalah dalam subjek,” katanya selepas berakhir Majlis Konvokesyen UMS kali ke-26.

Sementara itu, Janet pula berkata, dia begitu mengagumi semangat yang dimiliki oleh kakaknya.

"Meskipun Jaynie mempunyai kecacatan fizikal pada bahagian kaki akibat kemalangan jalan raya, ia tidak sesekali mematahkan semangat dia meneruskan pengajian.

Artikel Berkaitan:

"Jaynie sangat kuat. Dirinya tidak memerlukan dorongan kerana semangat dan ketekunannya sendiri sudah cukup untuk melangkah jauh,” ujarnya.

Ditanya mengenai hala tuju selepas konvokesyen ini, Jaynie berkata, mereka mempunyai haluan hidup yang berbeza namun tetap saling lengkap melengkapi.

"Saya bercadang menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan Janet mahu memulakan perniagaan dengan membuka studio photobooth di kampung halaman.

"Impian ini bukan sahaja untuk menyara diri tetapi juga mahu memberi impak positif kepada komuniti,” kata Jaynie.

Terdahulu, Jaynie menerima skrol ijazah dalam sidang ketiga Majlis Konvokesyen UMS kali ke-26 yang disampaikan Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim.

Manakala Janet dianugerahkan ijazah pada sidang keempat yang disampaikan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp