Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2023 melibatkan 140 majikan pelbagai sektor. Gambar hiasan- unsplash
Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2023 melibatkan 140 majikan pelbagai sektor. Gambar hiasan- unsplash

Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 tawar 13,000 peluang pekerjaan

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
10 Feb 2023 04:33pm
A
A
A

Kementerian Sumber Manusia (KSM) sentiasa berusaha mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini terutama apabila berdepan pasca pandemik Covid-19.

Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2023 yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula esok, 11 hingga 12 Februari ini merupakan antara inisiatif berskala besar dalam membuka ruang dan peluang kepada pencari kerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, karnival berkenaan boleh menjadi platform terbaik kepada para pencari kerja kerana dijangka menawarkan sebanyak 13,000 peluang pekerjaan melibatkan lebih 140 majikan daripada pelbagai sektor.

“Mereka yang sedang mencari pekerjaan ataupun menganggur terutama di sekitar kawasan Lembah Klang malah seluruh negara boleh menjadikan karnival ini sebagai platform peluang pekerjaan dan mengetahui mengenai industri-industri ditawarkan dalam pasaran hari ini.

“Ia berikutan majikan-majikan yang terlibat dari pelbagai industri termasuk sektor kerajaan dan swasta, syarikat keusahawanan, syarikat pemula, perusahaan sosial dan penyedia perkhidmatan gig,” katanya kepada Sinar Bestari.

Artikel Berkaitan:

Mustapha Sakmud
Mustapha Sakmud

Beliau memberitahu, pencari kerja juga dapat bertemu secara bersemuka dengan majikan ketika sesi temu duga tanpa melalui proses janji temu.

Mustapha menambah, karnival bermula pada pukul 9 pagi hingga 5 petang itu bakal menyaksikan penglibatan majikan besar seperti Maybank, Bank Simpanan Nasional (BSN), EXIM Bank, Keretapi Tanah Melayu (KTM Malaysia), ExxonMobil, UMW, UOA Group dan Avisena Healthcare.

“Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan karnival berkenaan dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) pada Sabtu ini.

“SKSSR adalah unik kerana Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara dan antara empat negara di dunia menawarkan skim perlindungan sosial kepada golongan suri rumah,” ujarnya.

Sepanjang karnival berlangsung, pelbagai aktiviti perkhidmatan pekerjaan disediakan secara percuma dan turut diadakan termasuklah penyediaan resume, pendaftaran portal MYFutureJobs, bimbingan dan nasihat kerjaya.

Penganjuran karnival berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan KSM melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk mewujudkan peluang pekerjaan secara mampan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan rentan seperti Orang Kurang Upaya (OKU).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok