
Buli bahasa: Luka halus yang membarah
Bahasa mencerminkan jiwa bangsa. Namun, dalam kehidupan seharian, bahasa tidak selalu digunakan sebagai wahana menyampaikan ilmu atau mengeratkan hubungan.
Bahasa sering juga dijadikan senjata untuk merendahkan, menghina dan menjatuhkan maruah orang lain.
Fenomena ini dikenali sebagai buli bahasa, iaitu sejenis keganasan psikologi yang semakin ketara dalam masyarakat moden.
Buli bahasa berlaku bukan sahaja di sekolah, malah di media sosial dan di tempat kerja, sehingga meninggalkan kesan yang besar terhadap kesejahteraan mental dan sosial mangsa.
Buli bahasa merujuk kepada perbuatan menggunakan kata-kata kasar, ejekan, sindiran atau panggilan berunsur penghinaan terhadap individu lain.
Walaupun kelihatan lebih ringan berbanding buli fizikal, kesannya mampu mencetuskan trauma mendalam, rasa rendah diri dan kecenderungan untuk mengasingkan diri daripada masyarakat.
Dalam kalangan pelajar misalnya, ejekan seperti 'bodoh', 'bangang' atau 'lembab' sering dilemparkan kepada rakan yang lambat memahami pelajaran.
Begitu juga dengan ejekan berbentuk body shaming seperti 'gemuk macam tong' atau 'kurus macam lidi' yang merendahkan penampilan fizikal.
Ada juga yang diejek kerana loghat daerah dengan panggilan ‘kampung’ atau ‘jakun’, manakala status sosioekonomi dijadikan bahan sindiran seperti “kelas bawahan”.
Lebih menyedihkan, ada anak-anak menerima kata-kata keras daripada ahli keluarga sendiri seperti 'anak tak guna' atau 'tiada masa depan' sehingga mematahkan semangat mereka untuk berusaha.
Luka yang ditinggalkan oleh buli bahasa tidak selalu dapat dilihat dengan mata kasar. Ramai mangsa memendam rasa dan hanya menanggung kesakitan secara batin sehingga menjejaskan kesihatan mental.

Perkhidmatan kesihatan mental
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pernah menegaskan dalam kenyataan medianya bahawa perkhidmatan kesihatan mental sentiasa tersedia di fasiliti kesihatan awam, selain menggalakkan masyarakat membawa individu yang berdepan tekanan emosi mendapatkan penilaian lanjut.
Walaupun tidak ada data khusus mengaitkan buli bahasa dengan statistik kesihatan mental, trend kebimbangan ini cukup jelas memperlihatkan bahawa tekanan sosial akibat kata-kata mampu menggugat kesejahteraan psikologi.
Kajian akademik tempatan turut menyokong hakikat bahawa buli termasuk buli bahasa, meninggalkan kesan yang mendalam terhadap kesejahteraan emosi.
Mohd Rodzi Akob dalam bukunya bertajuk Implikasi Gejala Buli terhadap Emosi dan Tingkah Laku dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah di Luar Bandar, menjelaskan bahawa pelajar yang menjadi mangsa buli menunjukkan perubahan tingkah laku, gangguan emosi dan kecenderungan untuk menarik diri daripada aktiviti sosial.
Dapatan kajian ini mengukuhkan hakikat bahawa buli bukan sekadar isu disiplin, tetapi masalah yang mampu menjejaskan perkembangan emosi dan masa depan seseorang pelajar.
Lebih membimbangkan, budaya dalam masyarakat Melayu sendiri kadangkala menormalkan buli bahasa dengan alasan gurauan.
Frasa seperti 'alah, gurau kasar sikit je' atau 'biasalah, nak mengeratkan hubungan' sering dijadikan hujah untuk menghalalkan ejekan.
Normalisasi seperti ini menutup ruang mangsa untuk bersuara kerana mereka dianggap tidak boleh menerima jenaka.
Akibatnya, ejekan menjadi budaya yang diterima sebagai perkara biasa, walhal bercanggah dengan adab Melayu yang menekankan kelembutan dalam bertutur.

Merosakkan hubungan sosial
Budaya memberi gelaran berasaskan ciri fizikal seperti 'Si Pendek', 'Si Hitam' atau 'Si Gigi Arang' sering dianggap sebagai identiti mesra dalam kelompok rakan sebaya.
Namun, hakikatnya perbuatan tersebut hanya merosakkan hubungan sosial kerana mengabaikan perasaan dan maruah orang lain.
Dalam konteks keluarga, ibu bapa dan ahli keluarga memikul tanggungjawab yang besar dalam membentuk penggunaan bahasa anak-anak.
Keluarga ialah madrasah pertama yang menanam nilai budi bahasa. Jika anak-anak terbiasa mendengar kata-kata kesat di rumah, mereka akan mengulanginya di luar.
Seorang ayah yang menegur anak dengan ucapan seperti 'Ayah tahu kamu boleh buat lebih baik, mari kita cuba lagi' mampu menanam keyakinan diri, berbeza dengan kata-kata seperti 'Kamu memang pemalas, tak guna' yang hanya melunturkan semangat.
Begitu juga dengan sikap ahli keluarga yang membiarkan ejekan berleluasa ketika berkumpul.
Jika saudara-mara tidak menegur kata-kata kasar yang digunakan, budaya buli bahasa akan terus berkembang dalam institusi keluarga.
Sekolah pula menjadi medan penting dalam membentuk keperibadian pelajar. Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi turut menjadi teladan dalam penggunaan bahasa beradab.
Seorang guru yang menegur murid dengan ungkapan membina seperti 'Cuba kamu perbaiki tulisan kamu, insya-ALLAH lebih cantik selepas ini' akan memberi motivasi.
Sebaliknya, teguran kasar seperti 'Tulisan kamu macam cakar ayam, memalukan' hanya menanam rasa rendah diri. Gaya bahasa guru menentukan sama ada murid berasa dihargai atau dipinggirkan.
Sekolah juga boleh menggalakkan aktiviti kokurikulum seperti pidato, forum remaja atau drama yang menekankan kesantunan berbahasa.
Aktiviti sebegini memberi peluang kepada murid untuk melihat contoh nyata, seterusnya mengamalkan komunikasi yang sopan dalam kehidupan seharian.
Institusi pengajian tinggi turut berhadapan dengan bentuk buli bahasa yang lebih halus. Mahasiswa dari luar bandar sering menjadi bahan ejekan kerana loghat daerah atau cara berpakaian yang dianggap ketinggalan.
Ada yang digelar 'jakun' hanya kerana belum biasa dengan budaya bandar. Situasi ini menimbulkan rasa terasing dan mengganggu proses integrasi sosial di kampus.

Ejen perubahan
Pensyarah dan pihak pengurusan universiti perlu menjadi ejen perubahan dengan menekankan etika komunikasi dalam kursus atau seminar.
Kursus berkaitan kemahiran insaniah misalnya boleh mengangkat aspek bahasa beradab. Budaya bimbingan rakan sebaya atau mentor-mentee juga wajar diperkasakan.
Pelajar senior yang membimbing junior dengan penuh hormat akan menunjukkan contoh bahawa kejayaan tidak pernah terletak pada merendahkan orang lain, tetapi pada semangat mengangkat potensi bersama.
Media massa pula berperanan besar membentuk norma komunikasi masyarakat. Televisyen, radio, akhbar dan media sosial menentukan apa yang dianggap normal dalam pertuturan harian.
Namun, sebahagian rancangan hiburan masih menjadikan ejekan fizikal atau loghat sebagai bahan ketawa. Walaupun nampak menghiburkan, mesej tersirat ialah ejekan tidak salah untuk ditiru.
Apabila selebriti atau tokoh terkenal diejek dengan nama samaran yang merendahkan, penonton cenderung meniru bahasa yang sama.
Keadaan ini bercanggah dengan budaya Melayu yang menyanjung tinggi nilai 'budi bahasa budaya kita'.
Justeru, media perlu lebih bertanggungjawab dengan menonjolkan kandungan yang membina.
Drama, komedi dan program bual bicara boleh dijadikan wadah untuk mengangkat bahasa yang sopan, indah dan menghormati kepelbagaian masyarakat.

Tindakan kolektif seluruh masyarakat
Membanteras buli bahasa menuntut tindakan kolektif seluruh masyarakat. Tanggungjawab tidak boleh diletakkan kepada mangsa semata-mata untuk 'tabah menghadapi', sebaliknya memerlukan komitmen bersama.
Undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 wajar dikuatkuasakan secara konsisten untuk mengekang buli bahasa di alam maya.
Pada masa sama, kempen kesedaran melalui sekolah, pejabat dan komuniti perlu digiatkan agar terbentuk norma baharu yang menjunjung bahasa sopan, hormat dan membina.
Kesantunan yang selama ini menjadi kebanggaan orang Melayu wajar diangkat semula sebagai benteng menghadapi budaya ejekan yang semakin merosakkan.
Buli bahasa bukan sekadar permainan kata. Luka halus yang ditinggalkan boleh membarah jika dibiarkan.
Dalam usaha membina masyarakat madani yang sejahtera, setiap individu memikul amanah menjaga lidah dan pena.
Kata-kata mampu menjadi doa yang membina jiwa, tetapi jika disalahgunakan, kata-kata juga boleh bertukar menjadi racun yang menghancurkan.
Oleh itu, marilah kita bersama memilih untuk membina, bukannya menghancurkan.

Maklumat penulis:
Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Mohd Zikri Ihsan Mohamad Zabhi
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my
Ringkasan AI
- Bahasa sering dijadikan senjata untuk merendahkan maruah orang lain melalui buli bahasa
- Buli bahasa merujuk kepada penggunaan kata-kata kasar, ejekan, dan sindiran yang mencetuskan trauma mendalam
- Keluarga mempunyai peranan penting dalam membentuk penggunaan bahasa yang positif di kalangan anak-anak
- Sekolah dan institusi pengajian tinggi boleh menggalakkan penggunaan bahasa beradab melalui aktiviti kokurikulum
- Media massa memiliki peranan dalam membentuk norma komunikasi yang sopan dan menghormati kepelbagaian masyarakat