Dampingi anak muda menerusi Muzikal Dakwah Malam Cinta Rasul
Muzikal Dakwah Malam Cinta Rasul yang diadakan di Pusat Komersil Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini bertujuan menzahirkan rasa cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Program muzikal anjuran Media Home Communication dengan kerjasama Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU) dan Koperasi Siswa Universiti Sains Islam Malaysia Berhad (KOSISWA) menyajikan pelbagai aktiviti bermanfaat kepada orang ramai termasuk mahasiswa yang hadir di Muzikal Dakwah Malam Cinta Rasul itu.
Antara yang berlangsung adalah alunan selawat dan qasidah yang diketuai Soutul Muazzin, tilawah al-Quran, nasyid, tazkirah dan persembahan khas penyanyi terkenal tanah air, Mawi.
Menurut Pengerusi Media Home Communication, Shahir Adnan, program yang dianjurkan itu adalah untuk memupuk semangat kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW dan bersolidariti bersama Palestin.
“Walaupun kita tidak mampu untuk berjihad melawan Zionis Israel tapi kita mampu menggunakan senjata terkuat umat Islam iaitu doa yang boleh dilaksanakan di mana sahaja kita berada dan di dalam apa jua situasi,” ujarnya.
Sementara itu, pendakwah terkenal, Ustaz Naim Saadon berkata, umat Islam perlu sentiasa bersabar dan mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW supaya kita memperoleh syafaat.
“Kita perlu mengambil iktibar daripada peperangan yang terjadi di sana apabila rakyat Palestin sangat sabar menghadapinya.
“Insya-ALLAH, semoga kita ditempatkan di syurga kelak atas kesabaran semua,” kata Ustaz Naim.
Maklumat Penulis
Mahasiswa USIM, Muhammad Izzuddin Loh Mohd Ikram Loh dari kelas ACJ 3083
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my