
Generasi Z: Hilang adab, hilang identiti bangsa
Dunia kini berada dalam genggaman hanya dihujung jari sahaja dengan segala maklumat dapat dicapai seolah-olah manusia menjadi penguasa teknologi.
Namun di sebalik kecanggihan ini, tersembunyi satu hakikat pahit iaitu generasi muda sekarang yang terdiri daripada gen Z semakin jauh daripada akar budayanya.
Mereka hidup dalam dunia gajet tetapi mereka telah hilang arah sebagai insan yang beradab dan sebagai pewaris identiti bangsa.
Fenomena ini semakin ketara dalam kalangan pelajar dan remaja masa kini.
Di mana sahaja kita pergi seperti di restoran, dalam pengangkutan awam malah di ruang keluarga pemandangan yang biasa kita lihat ialah anak-anak yang leka menatap skrin sementara komunikasi dengan ibu bapa dan orang sekeliling hampir lenyap.
Oleh itu, nilai sopan santun dan rasa hormat terhadap orang yang lebih tua dan kesantunan dalam berbahasa semakin pudar.
Gajet yang pada asalnya dicipta untuk memudahkan manusia kini menjadi seolah-olah memperhambakan mereka.
Merujuk mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan iaitu Tan Sri Dr Rais Yatim mengatakan dalam satu laporan 'adab budaya Masyarakat sudah hilang'.
Beliau menyentuh tentang krisis nilai dan adab sopan dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda yang dilihat semakin terhakis disebabkan oleh pengaruh globalisasi dan perubahan gaya hidup yang sangat cepat.
Kenyataan ini adalah satu pengiktirafan kepada realiti hidup yang dihadapi sebagai sebuah bangsa yang kaya dengan pelbagai warisan adab dan budi bahasa.
Tidak dapat dinafikan, teknologi dan gajet membawa pelbagai manfaat.
Ia mempercepatkan proses pembelajaran serta memudahkan untuk mencari maklumat dan membuka peluang komunikasi tanpa sempadan.
Namun, apabila penggunaan tidak diimbangi secara berdisiplin dan nilai kecanggihan ini bertukar menjadi ujian besar kepada akhlak dan identiti generasi muda.
Hilangnya adab dalam kalangan generasi gajet boleh dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan yang terdiri daripada cara mereka berinteraksi secara bersemuka kerana mereka lebih sering menggantikan sesebuah komunikasi tersebut menjadi komunikasi yang dingin dengan hanya melalui skrin sahaja.
Oleh itu, tumpuan dan rasa hormat mereka terhadap orang yang lebih tua atau di kawasan majlis rasmi sering terganggu kerana mereka terlampau sibuk melayani gajet.
Malah, bahasa percakapan dan tulisan juga turut terjejas disebabkan oleh setiap perkataan yang digunakan dengan singkatan perkataan, bahasa rojak dan pengaruh bahasa asing sehingga menjejaskan kemurnian bahasa ibunda.
Di manakah nilai-nilai murni seperti amanah, bertanggungjawab dan hormat-menghormati sekiranya hubungan antara masyarakat sekarang telah bertukar kepada ‘emoji’ dan mesej ringkas?
Generasi muda yang sepatutnya membina kemahiran insaniah (soft skills) seperti komunikasi yang berkesan, memahami perasaan orang lain dan dapat menyelesaikan konflik secara bersemuka kini lebih selesa menggunakan cara ‘memblock’ atau ‘unfriend’ sekiranya mempunyai pendapat yang berbeza.
Mereka mungkin pintar dalam teknologi, tetapi lemah dalam tatacara sosial.
Mereka tahu mencipta kandungan digital tetapi gagal menilai kesan moral terhadap masyarakat.
Mereka berani bersuara di alam maya tetapi takut berdepan secara berhemah di dunia nyata.
Akibatnya, kita melahirkan generasi yang cerdas dari segi intelek tetapi miskin dari segi nilai kemanusiaan.
Lebih membimbangkan lagi, gejala ini turut mencorakkan cara pelajar berinteraksi di sekolah.
Rasa hormat terhadap guru semakin menipis, arahan guru dianggap beban, teguran guru disamakan dengan penghinaan.
Oleh itu, guru sekarang bukan lagi dilihat sebagai pembimbing tetapi sebagai individu yang perlu memenuhi kehendak murid dan ibu bapa.
Keluarga dan sekolah: Adakah dua tiang ini akan semakin longgar? Punca kehilangan adab tidak boleh diletakkan di bahu pelajar semata-mata.
Ia berpunca daripada kelonggaran dua institusi penting iaitu keluarga dan sekolah. Keluarga ialah tempat pertama anak belajar erti kasih sayang, hormat dan tanggungjawab.
Namun, realitinya segelintir ibu bapa kini sibuk dengan urusan kerja hingga menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik kepada gajet.
Oleh itu, telefon pintar sering dijadikan sebagai 'penenang' apabila anak meragam, tablet dijadikan sebagai 'guru' apabila ibu bapa tiada masa dan YouTube dijadikan sebagai 'teman' apabila keluarga tidak lagi berbual di meja makan.
Dari kecil anak-anak terbiasa berinteraksi dengan skrin dan tidak pernah berinteraksi dengan manusia.
Maka tidak hairanlah mereka membesar tanpa empati dan budi bahasa. Di sekolah pula, peranan guru semakin mencabar.
Kuasa mendidik dan menegur sering disalah tafsir sebagai kekerasan.
Tindakan disiplin mudah menjadi isu tular di media sosial sehingga dapat menyebabkan guru menjadi serba salah antara menjaga maruah pelajar atau mempertahankan maruah profesionalnya.
Dalam suasana begini, usaha memupuk adab dan nilai menjadi semakin sukar.
Adakah nilai dan adab dapat disemai kembali? Masih belum terlambat untuk kita memperbetulkan arah.
Jika dahulu bangsa kita dikenali dengan kelembutan budi, kehalusan bahasa dan rasa hormat yang tinggi kini sudah tiba masanya untuk mengembalikan warisan itu dalam wajah moden bangsa.
Caranya bukan dengan menolak teknologi tetapi dengan menundukkannya kepada nilai. Keluarga mesti kembali menjadi madrasah pertama yang mengajar anak-anak erti adab.
Wujudkan masa tanpa gajet di rumah, biasakan makan bersama sambil berbual,dan jadikan perbualan beradab sebagai budaya harian.
Sekolah pula perlu memperkukuh pendidikan karakter bukan sekadar mengejar pencapaian akademik, tetapi mendidik pelajar memahami erti tanggungjawab, hormat dan disiplin.
Pihak berwajib juga harus menilai semula dasar pendidikan digital agar ia tidak sekadar menekankan kemahiran teknologi, tetapi turut membina nilai kemanusiaan.
Modul literasi digital perlu disertai elemen etika penggunaan media sosial, keselamatan siber dan tanggungjawab moral dalam dunia maya.
Selain itu, tokoh masyarakat, selebriti dan pempengaruh media sosial juga mempunyai peranan penting.
Mereka harus menjadi contoh dengan menggunakan platform digital secara berhemah mempromosikan nilai murni, bukan budaya sensasi.
Dalam era di mana anak muda menjadikan media sosial sebagai rujukan utama, teladan yang baik daripada golongan berpengaruh amat diperlukan.
Akhirnya, kita mesti sedar bahawa gajet hanyalah alat bukan penentu arah hidup.
Apabila manusia menjadi hamba kepada teknologi maka hilanglah maruah dan identiti bangsa. Kita tidak menolak kemajuan tetapi kemajuan tanpa adab hanya akan membawa kehancuran.
Jika kita mahu melihat masa depan yang gemilang maka usaha memulihkan adab mesti bermula hari ini di rumah, di sekolah dan di alam maya.
Hanya dengan cara itu, kita dapat memastikan bahawa generasi gajet tidak menjadi generasi yang hilang adab serta hilang jati diri dan akhirnya hilang bangsa.
Maklumat penulis:
1) Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) Dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Siti Nursyahirah Mohd Narawi
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373), UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my
Ringkasan AI
- Dunia kini mudah diakses tetapi generasi Z semakin jauh dari budaya mereka
- Generasi muda lebih leka dengan gajet dan kehilangan adab serta rasa hormat terhadap orang lebih tua
- Penggunaan gajet secara berlebihan mengubah cara interaksi menjadi kurang beradab
- Keluarga dan sekolah merupakan dua institusi penting yang peranan mendidiknya semakin lemah
- Perlu ada usaha bersama untuk mengembalikan nilai adab dan identiti bangsa melalui pendidikan dan penggunaan teknologi secara beretika