Burnout berlaku apabila seseorang itu lelah atau penat fizikal, emosi mahupun mental akibat tekanan berpanjangan. Gambar kecil: Muhammad Zuhairi.
Burnout berlaku apabila seseorang itu lelah atau penat fizikal, emosi mahupun mental akibat tekanan berpanjangan. Gambar kecil: Muhammad Zuhairi.

Jangan ambil mudah dengan 'burnout'

MUHAMMAD ZUHAIRI AINUL ADNAN
30 Dec 2023 04:14pm
A
A
A

Kebelakangan ini, ramai dalam kalangan kita yang pelbagai peringkat umur, tidak kira bekerja mahupun belajar sentiasa berasa penat dalam tempoh yang panjang atau dengan bahasa mudahnya, burnout.

Burnout dalam terma psikologi merujuk kepada keadaan lelah atau penat yang jelas dari aspek fizikal, emosi mahupun mental terhadap individu akibat tekanan berpanjangan.

Terdapat beberapa tanda utama yang boleh dikenal pasti untuk menentukan adakah seseorang itu sedang mengalami burnout.

Antara tanda-tanda yang jelas dan mudah dikesan adalah merasa serabut untuk pergi ke tempat kerja atau kelas, gelisah atau cemas yang muncul sebelum menghadapi kerja. Individu ini mungkin mengalami tekanan yang berterusan sehingga mempengaruhi motivasi dan kesejahteraan keseluruhan.

Selain itu, merasa kosong di tempat kerja juga tanda yang seringkali dikaitkan dengan gejala burnout. Ia digambarkan dengan kehilangan minat atau motivasi terhadap pekerjaan sehingga menciptakan perasaan hampa atau kosong. Orang yang mengalami gejala ini mungkin putus asa dalam pekerjaan mereka, yang akhirnya mempengaruhi kesejahteraan emosional dan mental.

Selanjutnya, selalu berfikir untuk berhenti kerja atau belajar juga berkait rapat dengan burnout. Kebiasaannya individu itu gagal menanggung beban kerja yang digalas menyebabkan prestasi ditempat kerja atau universiti merudum. Akibatnya, setiap kali diberi tugas yang banyak, mereka akan terdetik untuk berhenti belajar atau kerja.

Inilah tanda-tanda awal yang menunjukkan seseorang sedang mengalami burnout tanpa disedari.

Pasukan kesihatan antara kumpulan sering dikaitkan dengan risiko kepenatan melampau.
Pasukan kesihatan antara kumpulan sering dikaitkan dengan risiko kepenatan melampau.

Artikel Berkaitan:

Rehat kunci utama

Langkah awal yang boleh dilakukan adalah mendapatkan kepastian dengan berjumpa dengan kaunselor atau pakar. Inisiatif lain pula mendapatkan rehat yang secukupnya.

Hal ini kerana, antara punca berlakunya burnout adalah beban kerja yang berlebihan. Apabila seseorang itu rasa dibebani lambakan kerja sehingga tidak cukup tidur, fizikal akan menjadi letih dan lesu.

Elakkan bekerja lebih masa ataupun membuat kerja di rumah sehingga lewat malam.

Seterusnya, digalakkan untuk berkomunikasi dengan pihak atasan atau rakan sekerja tentang apa yang dialami. Ia kadangkala seseorang itu mungkin tidak menyedari masalah yang sedang dialami.

Dengan cara itu, mereka mungkin boleh membantu dengan memberi solusi, cuti, kelonggaran kerja atau merujuk anda kepada pakar.

Rakan sekerja atau sekelas mungkin sukar membantu kerana bidang kuasa yang terhad. Walaubagaimanapun, mereka mungkin dapat meringankan bebanan emosi empunya badan. Dengan berkongsi cerita sedikit sebanyak membantu mengukuhkan lagi semangat dan mencari jalan penyelesaian bersama.

Mengatasi ‘burnout’ bukanlah jalan yang mudah dan selesai dalam tempoh sehari dua. Sebaliknya, ia memerlukan kesedaran, sokongan dan tindakan konkrit oleh diri sendiri dan orang sekeliling.

Dalam menangani tekanan, penting diingatkan bahawa kesejahteraan mental dan fizikal adalah pelaburan jangka masa panjang.

Ingatlah memberi keutamaan kepada kesihatan mental adalah langkah yang berani dan dengan perhatian yang betul, kita boleh membimbing diri ke arah perubahan positif.

Maklumat Penulis

Mahasiswa tahun dua Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Zuhairi Ainul Adnan

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok