
Lautan kita, masa depan kita!
Bayangkan bumi ini kering tanpa lautan. Kita tidak ada oksigen yang cukup untuk bernafas, cuaca semakin membahang dan sumber protein kita terbatas.
Ini sebenarnya realiti yang mungkin akan kita hadapi masa hadapan.
Lebih separuh daripada oksigen yang kita hirup setiap hari dihasilkan oleh plankton yang terapung di permukaan laut.
Pada masa yang sama, lautan juga menyerap hampir 90 peratus daripada haba berlebihan yang dihasilkan oleh aktiviti manusia, menjadikannya pengawalatur utama sistem iklim dunia.
Namun, sempena sambutan Hari Lautan Sedunia baru-baru ini, paru-paru dan termostat biru bumi kita semakin menunjukkan tanda-tanda kesakitan yang membimbangkan.
Kajian saintifik terkini melaporkan bahawa lautan kita kini sedang berdepan tekanan yang belum pernah berlaku dalam sejarah manusia.
Perubahan iklim, pencemaran dan aktiviti eksploitasi sumbernya telah menolak ekosistem laut ke ambang kemusnahan.
Sedekad yang lalu mencatatkan suhu laut paling panas, dengan tahun 2024 merekodkan suhu purata permukaan laut tertinggi dalam sejarah.

Isu paling kritikal
Antara isu paling kritikal yang dikenal pasti oleh para saintis melibatkan empat ancaman utama yang saling berkait dan memberi kesan mendalam kepada kesihatan lautan.
Pertama, peningkatan suhu lautan yang berlaku akibat lebih 90 peratus haba berlebihan daripada pemanasan global diserap oleh laut.
Fenomena ini menyebabkan suhu permukaan laut meningkat setiap tahun sekali gus mencetuskan gelombang haba marin, kelunturan besar-besaran terumbu karang dan ketidaktentuan dalam sistem iklim global.
Kedua, pengasidan lautan telah menjadi cabaran besar apabila peningkatan keasidan sekitar 30 peratus.
Keadaan ini menjejaskan keupayaan organisma seperti karang dan plankton untuk membina struktur berasaskan kalsium karbonat, yang seterusnya mengganggu kestabilan keseluruhan rantaian makanan marin.
Ketiga, lautan turut berdepan dengan kehilangan biodiversiti yang serius.
Sejak tahun 1950 an, lebih separuh daripada terumbu karang dunia telah musnah. Spesies pemangsa utama seperti jerung dan tuna juga menunjukkan penurunan populasi yang drastik.

Data persarangan penyu
Terbaru, data persarangan penyu selama 30 tahun oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menemui bukti bahawa saiz ibu penyu menyusut 4 cm dan beratnya menurun dari 120 kg kepada 105 kg secara purata.
Pemanasan global, penurunan nutrien dan pengecilan induk penyu yang akhirnya akan menghasilkan jumlah telur yang sedikit sekaligus mengurangkan potensi kemandirian spesis mereka.
Akhir sekali, pencemaran plastik terus memburukkan keadaan.
Dianggarkan sebanyak 14 juta tan plastik memasuki lautan setiap tahun dan kini terdapat lebih 170 trilion partikel plastik yang terapung di seluruh perairan dunia.
Kesan pencemaran ini amat membimbangkan, apabila hampir 800 spesies marin dikenal pasti terjejas akibat tertelan atau terjerat plastik.
Selain itu, kerugian ekonomi global akibat pencemaran plastik di lautan dianggarkan mencecah USD13 bilion setahun, termasuk impak terhadap sektor pelancongan, perikanan, dan infrastruktur.
Namun, cabaran masa depan memerlukan lebih banyak pelaburan. Bukan hanya dari segi teknologi, tetapi juga dalam pembangunan modal insan.
Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melaporkan secara purata hanya 1.7 peratus peruntukan penyelidikan nasional di seluruh dunia diperuntukkan kepada sains lautan.

Pelaburan dalam penyelidikan
Untuk mengimbangi impak perubahan iklim dan memacu ekonomi berasaskan laut secara lestari, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan bakat perlu dipertingkatkan oleh negara kita.
UMT memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi baharu pakar oseanografi, ahli biologi marin, jurutera maritim dan golongan profesional berkaitan lautan.
Melalui program akademik khusus, latihan lapangan dan kerjasama industri, pelajar didedahkan dengan cabaran dan penyelesaian dunia sebenar.
Namun, usaha ini perlu disokong melalui sumber kewangan yang mantap seperti mewujudkan tabung endowment atau wakaf, biasiswa pelajar, dana penyelidikan dan peluang kerjaya yang mampan dalam sektor marin negara.
Kesihatan lautan adalah cerminan masa depan kita. Tanpa lautan yang sihat, kita kehilangan bukan sahaja biodiversiti, tetapi juga sumber makanan, kestabilan iklim, dan kemakmuran ekonomi.
Hari Lautan Sedunia ini harus menjadi titik tolak untuk menyatukan tindakan, bermula dari dasar kerajaan, pelaburan korporat, pendidikan awam, hingga kepada aktivisme komuniti.
Menyokong usaha institusi seperti UMT adalah langkah wajar untuk memastikan kesinambungan usaha pemuliharaan, penyelidikan dan pembangunan bakat dalam bidang marin negara.
Setiap pelaburan dalam sains lautan hari ini adalah pelaburan untuk masa depan yang lebih stabil, lestari dan makmur.

Maklumat penulis:
Ketua penyelidik Sea Turtle Research Unit (SEATRU), Insitut Oseanografi dan Sekitaran, UMT, Profesor Madya Dr Mohd Uzair Rusli
- Berpengalaman dalam bidang pemeliharaan haiwan marin, pendidikan konservasi dan dasar pengurusan sumber laut.
- Beliau komited meningkatkan tahap literasi lautan nasional sebagai satu usaha menangani cabaran lautan ketika ini.
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my