Mahasiswa Malaysia berbaju kebangsaan ketuai projek Palestin sempena Hari Malaysia

24 Sep 2025 10:30am

Sempena Hari Malaysia tahun ini, satu pengalaman yang berharga buat diri ini apabila kami di Mesir memilih untuk menyambutnya dengan cara yang berbeza.

Bukan sekadar dengan bendera, tetapi melalui sebuah misi kemanusiaan bersama 33 belia antarabangsa dari 10 negara iaitu Mesir, Bangladesh, Belgium, India, Indonesia, Kenya, Nigeria, Pakistan dan Palestin.

Yang menjadikan hari itu lebih istimewa, kami semua mengenakan baju Melayu dan baju kurung.

Walaupun berada jauh dari tanah air, pakaian tradisi ini benar-benar menambahkan suasana meriah dan mengingatkan kami kepada Malaysia.

Rasanya seperti membawa sedikit 'rumah' bersama dalam setiap langkah kami. Projek ini dikenali sebagai Summer Mega Project 2025, berlangsung pada 13 dan 14 September 2025.

Dalam masa dua hari itu, kami bergerak mengikut kumpulan ke 4 lokasi serentak. Tugas kami adalah mengedarkan 1,500 naskhah al-Quran wakaf dan 200 buah buku matan di Luxor, Dumyat dan Giza, serta menyampaikan 50 pek makanan asas kepada warga Palestin di Mesir yang bermukim di Gharbiyah.

Semua ini digerakkan oleh MyFundAction Middle East & Africa, dan bagi saya ia sangat membuktikan bahawa kasih sayang dan keprihatinan mampu melangkaui bangsa dan negara.

Bagi ramai sukarelawan lain, ini merupakan pengalaman pertama menjejakkan kaki ke kampung-kampung di Mesir.

Artikel Berkaitan:

Kami bertemu keluarga tempatan, berinteraksi dengan mereka, bahkan sempat bermain dengan anak-anak kecil. Masih segar di minda wajah ceria mereka ketika menerima al-Quran dan pek makanan.

Ada seorang anak Mesir yang tiba-tiba menangis kegembiraan apabila menerima mushaf baharu, momen itu benar-benar menyentuh hati.

Di sisi lain, ketika berjumpa dengan warga Palestin di Mesir, ada antara mereka yang berkongsi kisah hidup dan cerita keluarga mereka yang masih berada di tanah air yang bergolak.

Mendengar kisah itu membuatkan ramai antara kami mengalirkan air mata. Ia bukan sekadar cerita, tetapi satu peringatan tentang betapa beratnya ujian yang mereka tanggung.

Sepanjang dua hari itu, banyak perkara telah dipelajari. Antaranya tentang kerja amal bukan hanya soal memberi, tetapi juga soal mendengar, memahami, dan bersama dengan mereka yang diuji.

Setiap pertemuan meninggalkan kesan yang mendalam, membuat diri ini yakin bahawa tindakan kecil yang ikhlas boleh memberi makna besar dalam hidup orang lain.

Dengan kehadiran 66 orang sukarelawan dari pelbagai latar belakang, saya dapat melihat bagaimana perbezaan bahasa, budaya, dan negara boleh disatukan untuk satu tujuan, iaitu membina jambatan kemanusiaan dan menyulam erti kebersamaan.

Seperti Firman Allah di dalam Al-Quran: “Sesiapa yang memelihara satu kehidupan manusia, seolah-olah dia telah memelihara kehidupan seluruh manusia.” (Surah al-Maidah, 5:32)

Bagi saya, Summer Mega Project 2025 bukan sekadar program. Ia adalah kenangan, pengajaran, dan titik tolak untuk terus terlibat dalam kerja-kerja kemanusiaan pada masa hadapan.

Hari Malaysia tahun ini pastinya berbeza, kerana buat pertama kali saya benar-benar merasai erti “kasih sayang tanpa sempadan.

Maklumat penulis:

Pelajar Universiti Al-Azhar, Nursyafiah Aina Abdul Mubin

Ringkasan AI

  • Sempena Hari Malaysia, sukarelawan di Mesir menyambut dengan misi kemanusiaan bersama belia antarabangsa
  • Semua sukarelawan mengenakan baju Melayu dan baju kurung menambah suasana meriah
  • Projek mengedarkan 1,500 naskhah al-Quran, 200 buku, dan 50 pek makanan di beberapa lokasi di Mesir
  • Interaksi dengan keluarga tempatan dan anak-anak Mesir menunjukkan kesan mendalam dan menggembirakan mereka
  • Summer Mega Project 2025 adalah pengalaman membina jambatan kemanusiaan dan menyulam erti kebersamaan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp