No Image Caption

Memimpin yang memimpin: Imperatif pemerkasaan kepimpinan universiti 4.0

11 Sep 2025 09:55am

Dalam landskap pendidikan tinggi kontemporari yang semakin kompleks dan mencabar, peranan kepimpinan strategik di institusi pengajian tinggi, khususnya universiti awam, tidak boleh dipandang remeh.

Para nakhoda yang mengemudi bahtera akademik ini bukan sahaja bertanggungjawab merangka haluan institusi, malah turut menggalas amanah untuk membina kapasiti modal insan serta memastikan daya saing dan kelestarian universiti dalam arus globalisasi.

Ironinya, di sebalik tampuk kuasa dan autoriti yang dipegang, wujud suatu paradoks fundamental ‘Memimpin Yang Memimpin’ iaitu keperluan asas bagi pemimpin itu sendiri untuk sentiasa dipimpin, dilatih dan diperkasa secara berterusan dalam domain kepimpinan mereka.

Justeru, pemerkasaan kepimpinan di universiti awam sangat signifikan khususnya dengan anjakan paradigma ke arah Universiti Generasi Keempat (Universiti 4.0).

Senario pengurusan universiti awam hari ini diselubungi pelbagai kekangan dan tuntutan yang saling bersimpangan.

Gambar kecil (Mohd Rafizi)
Gambar kecil (Mohd Rafizi)

Struktur birokrasi yang tegar, meskipun bertujuan menjamin ketelusan, sering kali menjadi penghalang kepada inovasi dan ketangkasan adaptasi terhadap perubahan.

Artikel Berkaitan:

Rezab kewangan yang semakin terhad pula memaksa universiti untuk beralih daripada kebergantungan kepada peruntukan kerajaan semata-mata kepada penjanaan pendapatan sendiri, memerlukan pemikiran keusahawanan yang agresif dan kemahiran pengurusan risiko yang ampuh.

Selain itu, cabaran dalam mengekalkan dan membangunkan bakat-bakat akademik serta pentadbiran yang cemerlang turut menjadi agenda utama.

Kemahiran kepimpinan tradisional yang berorientasikan pentadbiran semata-mata tidak lagi relevan dalam merangsang kreativiti, memupuk budaya kerja berprestasi tinggi dan mengurus konflik secara konstruktif.

Justeru, para pemimpin universiti perlu dilengkapi dengan kecekapan mengimbangi kebebasan akademik dengan hala tuju strategik, di samping mengupayakan penglibatan pemegang taruh yang pelbagai, daripada agensi kerajaan, industri, komuniti, hingga alumni.

Tanpa pemerkasaan kemahiran kepimpinan yang holistik, keberhasilan pengurusan akan terjejas dan potensi universiti untuk melonjak ke tahap yang lebih tinggi akan terbantut.

Dalam konteks revolusi industri 4.0 dan era digitalisasi, institusi pengajian tinggi tidak boleh berpuas hati dengan peranan konvensional sebagai menara gading.

Sebaliknya, wujud keperluan mendesak untuk beralih kepada model Universiti 4.0. Model bersepadu ini melangkaui fungsi pengajaran dan penyelidikan semata-mata, sebaliknya menekankan integrasi pembelajaran, penyelidikan, inovasi dan penglibatan komuniti secara aktif.

Universiti perlu bergerak melampaui takrifan konvensional mereka, mendepani cabaran dan mengungguli peranannya sebagai hab ilmu.

Justeru, teras utama Universiti 4.0 adalah pengintegrasian mulus semua fungsi utama universiti secara proaktif untuk menggalakkan kolaborasi rentas disiplin dan bidang.

Institusi ini tidak lagi sekadar menghasilkan khazanah ilmu, malah giat memindahkan hasil penyelidikan dan penemuan baharu ke dalam aplikasi praktikal, terutamanya aspek pengkomersilan dan jalinan kerjasama strategik yang erat dengan pihak industri.

Ini membentuk persekitaran yang kondusif bagi memupuk inovasi, keusahawanan, serta pembangunan teknologi dan penyelesaian yang progresif.

Realitinya menegaskan bahawa para pemimpin universiti tidak lagi boleh beroperasi secara autopilot dengan berbekalkan kemahiran dan pengalaman sedia ada semata-mata.

Gambar kecil: Alwi
Gambar kecil: Alwi

Sebaliknya, mereka perlu sentiasa ‘dipimpin’ melalui program pembangunan kepimpinan yang komprehensif dan berterusan. Tuntutan ini selaras dengan konsep Kepimpinan Situasi yang diperkenalkan oleh Dr Paul Hersey dan Dr Ken Blanchard pada tahun 1969, yang kekal relevan sehingga kini.

Model ini menekankan keupayaan pemimpin untuk menyesuaikan gaya kepimpinan mereka mengikut tahap kematangan pengikut dan tuntutan spesifik sesebuah tugas serta perubahan lingkungan dan luaran.

Dalam konteks universiti yang dihuni oleh pelbagai kategori staf akademik dan pentadbiran dengan tahap kepakaran dan motivasi yang berbeza, keupayaan mengaplikasikan Kepimpinan Situasi adalah kritikal untuk memaksimumkan potensi modal insan dan mencapai objektif institusi secara optimum.

Ia ditambah pula dengan tuntutan transformasi yang berlaku dengan asbab perubahan persekitaran dan lingkungan melampaui perubahan pesat dunia dari segi teknologi dan pengetahuan yang berubah, maka keperluan kepada ‘memimpin yang memimpin’ itu perlu agar perubahan dapat diurus dan hala tuju baharu dapat diadaptasi dengan arus perubahan yang berlaku.

Justeru, pemerkasaan kepimpinan ini merangkumi pelbagai dimensi kritikal. Pertama, Pembangunan Visi Strategik dan Perancangan Jangka Panjang yang berlandaskan analisis trend global dan perancangan senario, ia penting dalam merumuskan hala tuju dinamik demi kelestarian universiti.

Kedua, kemahiran dalam Pengurusan Inovasi dan Keusahawanan perlu dipertingkatkan, merangkumi kecekapan mengenal pasti peluang inovasi, mengurus kitaran hayat penyelidikan dan pembangunan, serta memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan seluruh warga universiti. Ini penting untuk memastikan hasil penyelidikan dapat dikomersilkan dan memberi impak ekonomi yang berterusan.

Seterusnya, kebolehan dalam Pengurusan Pemegang Taruh dan Pembinaan Rangkaian adalah aspek kritikal. Ini melibatkan latihan dalam seni berunding, membina konsensus dan menjalin pakatan strategik dengan pelbagai entiti di peringkat domestik mahupun antarabangsa, seperti industri, kerajaan dan NGO.

Selain itu, Kepimpinan Transformasi dan Pengurusan Perubahan amat diperlukan bagi memacu anjakan budaya, mengatasi rintangan perubahan dan menginspirasi tenaga kerja untuk menerima dan mengadaptasi inovasi secara proaktif.

Kecekapan dalam Pengoptimuman Modal Insan juga tidak boleh dipinggirkan, merangkumi keupayaan menarik, melatih dan mengekalkan bakat-bakat terbaik, di samping memupuk budaya kepelbagaian dan keterangkuman dalam ekosistem universiti.

Akhir sekali, aspek Etika Kepimpinan dan Tadbir Urus Korporat perlu diberikan penekanan berterusan, memastikan para pemimpin menjunjung tinggi prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam setiap aspek pengurusan universiti.

Program-program pembangunan kepimpinan ini bukan sekadar kursus teori, tetapi perlu diintergrasikan dengan simulasi praktikal, bimbingan dan pengalaman lapangan yang disesuaikan dengan konteks kepimpinan universiti yang unik dan kompleks.

Pelaburan strategik dalam pembangunan kepimpinan universiti awam ini akan membawa implikasi positif yang berlipat ganda dan signifikan.

Universiti akan menjadi lebih berdaya saing di pentas global, mampu menarik lebih ramai pelajar dan penyelidik berkaliber tinggi dari seluruh pelosok dunia, serta menghasilkan inovasi yang berimpak tinggi dan relevan kepada masyarakat dan ekonomi negara.

Lebih daripada itu, inisiatif ini juga akan mewujudkan persekitaran akademik yang lebih dinamik, progresif dan responsif terhadap cabaran dan peluang masa hadapan yang sentiasa berevolusi, sekaligus memperkukuh kedudukan universiti sebagai agen perubahan dan pembangunan negara.

Konsep ‘Memimpin Yang Memimpin’ bukan manifestasi kelemahan, tetapi sebaliknya merupakan satu kekuatan pragmatik dan keperluan imperatif dalam era kepimpinan kontemporari.

Untuk memastikan universiti awam terus relevan dan cemerlang sebagai Universiti Generasi Keempat, pelaburan dalam pemerkasaan kepimpinan melalui latihan berterusan adalah satu kemestian.

Hanya dengan pemimpin yang sentiasa diperkasa pengetahuan, diasah kemahiran dan diperbaharui perspektif mereka, bahtera akademik Malaysia akan mampu mengharungi lautan cabaran global dengan penuh kejayaan, lantas memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan negara dan kesejahteraan ummah.

Semua ini boleh berlaku dengan kemahuan yang jitu dengan transformasi budaya kerja yang berlangsung secara progresif dan dinamik dengan sistem nilai yang sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Maklumat penulis:

1. Ketua Timbalan Pendaftar & Pengarah Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI) Universiti Teknologi Mara (UiTM), TS Mohd Rafizi Rahmad

2. Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar (IKP) UiTM, Profesor Madya Dr Alwi Mohd Yunus

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp