Objektif PADU menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan. Gambar kecil: Sheila Ramalingam.
Objektif PADU menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan. Gambar kecil: Sheila Ramalingam.

PADU: Lebih banyak persoalan berbanding jawapan

SHEILA RAMALINGAM
18 Jan 2024 08:00am
A
A
A

Pelancaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) mendapat banyak perhatian di berita tempatan baru-baru ini.

Rakyat digalakkan mendaftar dan mengemas kini maklumat peribadi masing-masing dalam sistem PADU.

Walau bagaimanapun, sistem PADU tidak mempunyai sebarang maklumat peribadi; sebaliknya, maklumat peribadi dikehendaki dimasukkan satu persatu ke dalam sistem PADU. Ia bermaksud, tanggungjawab rakyat bukanlah setakat menyemak dan mengemaskini maklumat peribadi tetapi melibatkan kerja memasuki data ke dalam sistem.

Ini bukanlah perkara baharu yang dihadapi dengan sistem kerajaan, termasuk PADU. Rakyat dibebani kerja memasukkan maklumat peribadi seperti nama penuh dan nombor kad pengenalan (yang boleh diperolehi daripada Jabatan Pendaftaran Negara), serta maklumat kewangan seperti komitmen, pendapatan dan faedah dari simpanan dan dividen (yang kesemuanya boleh diperolehi daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri). Tetapi mungkin ia lebih baik dan selamat untuk mendapatkan maklumat sensitif sebegini daripada rakyat sendiri.

Walau bagaimanapun, maklumat adalah jalan dua-hala. Jadi, kami sebagai rakyat juga berhak untuk tahu tujuan PADU dan bagaimana sistem ini akan digunakan untuk manfaat rakyat.

Laman sesawang PADU (https://padu.gov.my/) menyatakan objektifnya untuk menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan, menggubal dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data dan mengimbangi kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan dasar secara bersasar.

Manakala matlamat PADU adalah untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, melaksanakan pengukuhan dalam penggunaan sumber yang terhad, melaksanakan pemerkasaan sistem sosial melalui peningkatan kesejahteraan ekonomi dan rakyat serta merapatkan jurang sosioekonomi dengan memenuhi keperluan rakyat dan mengimbangi pembangunan.

Bagaimanakah kesemua ini akan dilakukan? Sebagai contoh, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ada menyatakan bahawa subsidi RON95 akan digantikan dengan program subsisidi bersasar pada suatu masa di pertengahan kedua tahun 2024.

Adakah ini bermaksud harga petrol akan meningkat di pertengahan kedua tahun 2024, dengan subsidi didebitkan ke dalam akaun rakyat yang layak menerima subsidi?

Artikel Berkaitan:


Bagaimana pula dengan seseorang yang tidak memasukkan maklumat yang benar ke dalam sistem PADU, dengan tujuan untuk menikmati subsidi dan manfaat Kerajaan?

Adakah apa-apa penalti yang akan dikenakan? Siapakah yang akan menyemak dan mengesahkan butir-butir ini? Juga, apakah manfaat lain yang boleh kami dapati daripada sistem PADU ini?

Adakah ini bermaksud Kerajaan tidak lagi akan menjalankan tinjauan banci secara tradisional untuk mendapatkan maklumat statistikal? Lebih merunsingkan lagi, adakah ini bermaksud maklumat statistikal yang sedia ada mengenai lanskap sosioekonomi di Malaysia selama ini adalah kurang tepat?

Bagaimana pula jika komitmen kewangan dan pendapatan seseorang berubah? Adakah maklumat perubahan ini perlu dikemaskini di dalam sistem PADU setiap kali terdapat perubahan dalam maklumat peribadi? Apakah akibatnya jika ini tidak dilakukan?

Keselamatan data rakyat

Kemudiannya, terdapat juga isu mengenai keselamatan dan privasi data. Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 tidak terpakai kepada kerajaan.

Walau bagaimanapun, Rafizi meyakinkan kami bahawa PADU dibangunkan dan akan dikendalikan oleh penjawat awam tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972.

Adakah itu bermaksud keseluruhan pangkalan data PADU adalah rahsia rasmi dan hanya boleh diakses oleh penjawat awam? Mempunyai lebih kurang 1.62 juta penjawat awam yang bermaksud dalam populasi yang mencecah 33 juta, terdapat seorang penjawat awam untuk setiap 21 orang.

Berapakah selamatnya maklumat paling peribadi kami? Jika hanya segelintir penjawat awam yang dibenarkan mengakses pangkalan data PADU, siapakah mereka?

Ini adalah kebimbangan yang tulen kerana berita tempatan yang hangat baru-baru ini adalah mengenai nasib malang ramai rakyat Malaysia yang terjerumus dalam pelbagai penipuan (scam).

Dilaporkan bahawa penipuan itu turut melibatkan orang yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri, pegawai polis, pegawai mahkamah, pegawai kastam, pegawai bank dan juga pegawai pos.

Penipu ini memiliki data peribadi seperti nama penuh, nombor kad pengenalan dan juga nombor akaun bank, yang menimbulkan persoalan, dari mana maklumat ini diperolehi?

Walau apapun, ia hampir mustahil untuk membuktikan secara konklusif di mahkamah siapa sebenarnya yang membongkarkan atau menjual data peribadi yang akhirnya dimiliki oleh penipu yang tidak bertanggungjawab.

Secara ringkasnya, kesangsian saya mengenai PADU adalah pertama sekali, kerajaan sudah pun memiliki kesemua maklumat yang diperlukan daripada rakyat melalui, antara lainnya, Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan juga baru-baru ini melalui MySejahtera.

Kedua, apakah manfaat terperinci PADU – bagaimanakah kerajaan boleh memastikan pengagihan subsidi dan manfaat yang adil dan saksama kepada mereka yang benar-benar memerlukannya, memandangkan maklumat boleh dipalsukan?

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil terhadap mereka yang membekalkan maklumat palsu bagi tujuan menikmati subsidi dan manfaat kerajaan?

Ketiga, apakah langkah-langkah keselamatan dan perlindungan yang telah diambil untuk memastikan data peribadi sensitif yang disimpan di dalam sistem PADU adalah sentiasa selamat?

Jika terdapat pemecahan data, apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk menangani dan memperbaiki keadaan ini, dan apakah akibatnya untuk orang-orang yang bertanggungjawab untuk pemecahan ini?

Memang tidak boleh dinafikan niat di sebalik PADU itu baik, bertujuan menambahbaik kebajikan rakyat di samping membangunkan ekonomi melalui pelaksaan dasar secara bersasar.

Walau bagaimanapun, rakyat juga berhak mengetahui butir-butir terperinci mengenai keberkesanan PADU, sebelum kami diminta untuk memberikan maklumat peribadi yang bersifat sensitif.

Jika tidak, PADU mungkin akhirnya dilihat sebagai satu percubaan menjalankan aktiviti pengawasan dan juga satu bentuk pencabulan hak privasi yang boleh merosakkan niat murni di sebalik pembangunannya.

Maklumat Penulis

Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Dr Sheila Ramalingam


Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok