
Pendapatan tidak seiring kenaikan kos hidup: Cerminan tekanan ekonomi rakyat Malaysia
Kenaikan kos sara hidup bukan lagi perkara baharu dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya bagi mereka yang tinggal di bandar besar.
Walaupun ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif dari segi pelaburan dan kadar pertumbuhan KDNK, terdapat ramai yang masih merasakan bahawa pendapatan yang diterima tidak cukup untuk menampung peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.
Situasi ini semakin ketara apabila gaji minimum dan purata pendapatan sebenar rakyat tidak lagi seiring dengan perbelanjaan harian yang semakin meningkat.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2024, kadar inflasi keseluruhan negara berada sekitar 2.5 peratus, namun bagi komponen makanan dan minuman, kadar kenaikannya lebih tinggi iaitu hampir 4.0 peratus.
Hal ini menunjukkan bahawa barangan keperluan asas menjadi penyumbang utama kepada tekanan kewangan rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 yang tinggal di kawasan bandar.
Walaupun purata gaji bulanan pekerja di Malaysia meningkat kepada sekitar RM3,800, ramai isi rumah masih mengadu bahawa peningkatan itu tidak membawa perubahan besar terhadap kesejahteraan hidup mereka.
Kenaikan harga barang, sewa rumah dan bil utiliti menyebabkan sebahagian besar pendapatan digunakan hanya untuk keperluan asas tanpa ruang untuk simpanan, pelaburan atau kecemasan bagi mereka.

Realiti ekonomi rakyat
Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru, terdapat ramai pekerja muda dan isi rumah berpendapatan rendah berdepan dilema dalam menampung perbelanjaan bulanan.
Walaupun gaji minimum telah dinaikkan kepada RM1,500 dan jumlah itu masih belum mencukupi bagi mereka yang perlu menanggung sewa rumah, pengangkutan serta kos makanan yang tinggi.
Ada yang terpaksa melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan manakala segelintir lagi memilih untuk berpindah ke kawasan pinggir bandar bagi mengurangkan kos sara hidup.
Bagi penduduk luar bandar pula, walaupun kos hidup lebih rendah, mereka berdepan cabaran lain seperti kekurangan peluang pekerjaan bergaji tinggi, akses internet yang perlahan dan infrastruktur yang terhad.
Perkara ini menunjukkan bahawa jurang antara bandar dan luar bandar masih wujud, bukan sahaja dari segi pendapatan tetapi juga dalam peluang ekonomi dan taraf hidup.
Laporan Bank Dunia (2023) turut menyatakan bahawa Malaysia masih berdepan ketidakseimbangan pembangunan wilayah yang besar.
Pelaburan dan peluang pekerjaan tertumpu di kawasan bandar menyebabkan migrasi berterusan dari luar bandar ke bandar besar.
Namun begitu, ramai yang berpindah ke bandar akhirnya turut terperangkap dalam tekanan ekonomi kerana kos sara hidup yang meningkat lebih cepat daripada kenaikan pendapatan mereka.

Punca ketidakseimbangan ini
Antara punca utama ialah kadar kenaikan gaji yang jauh lebih perlahan berbanding kadar inflasi.
Walaupun ada peningkatan gaji setiap tahun, nilainya tidak cukup untuk menampung kenaikan harga barangan asas seperti makanan, minyak masak dan beras.
Dalam masa sama, beban hutang isi rumah juga semakin meningkat akibat gaya hidup urban dan keperluan kewangan yang mendesak.
Data Bank Negara Malaysia menunjukkan kadar hutang isi rumah kini sekitar 81 peratus daripada KDNK antara yang tertinggi di Asia.
Ini menggambarkan bahawa ramai rakyat bergantung kepada pinjaman peribadi, kad kredit dan pembiayaan sewa beli semata-mata untuk mengekalkan taraf hidup sedia ada.
Walaupun kredit mudah memberi kelegaan jangka pendek, ia boleh meningkatkan risiko kewangan jangka panjang apabila komitmen bulanan terus bertambah.
Selain itu, gaji yang tidak kompetitif dalam sektor tertentu, kenaikan harga perumahan dan ketergantungan terhadap bantuan kerajaan turut menjadi cabaran utama.
Program bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sedikit sebanyak membantu, namun kesannya lebih bersifat sementara.
Masalah sebenar masih berkait rapat dengan pendapatan sebenar rakyat yang rendah berbanding kos sara hidup yang meningkat secara berterusan.

Implikasi sosial dan ekonomi
Apabila pendapatan tidak seiring dengan kenaikan kos hidup, kesannya bukan sahaja terhadap kewangan isi rumah tetapi juga terhadap kesejahteraan sosial.
Ramai rakyat terpaksa mengurangkan perbelanjaan untuk pendidikan, kesihatan atau tabungan masa depan.
Hal ini boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kualiti hidup serta kemampuan generasi muda untuk bersaing dalam ekonomi moden.
Dalam kalangan belia, isu ini semakin ketara apabila ramai graduan berdepan dengan gaji permulaan yang rendah.
Gaji awal bagi graduan ijazah sekitar RM2,500 hingga RM3,000 sebulan, sedangkan kos sewa bilik dan pengangkutan di bandar besar boleh menelan hampir separuh daripada jumlah itu.
Tidak hairanlah ramai anak muda menangguhkan perancangan untuk membeli rumah, berkahwin atau membina keluarga kerana beban kewangan yang berat untuk dihadapi.
Fenomena ini juga dikaitkan dengan kemiskinan relatif iaitu keadaan di mana seseorang tidak dianggap miskin secara mutlak tetapi masih tidak mampu mencapai taraf hidup selesa mengikut piawaian kawasan tempat tinggal.
Akibatnya, ramai merasakan tekanan mental dan sosial yang tinggi terutama di bandar-bandar besar di mana gaya hidup moden sering menuntut perbelanjaan yang tinggi.

Dasar dan langkah penyelesaian
Kerajaan kini sedang berusaha menangani isu ini melalui pelbagai pendekatan dasar seperti pelaksanaan gaji progresif, pengukuhan pasaran buruh dan pengagihan subsidi yang lebih bersasar.
Inisiatif di bawah kerangka Ekonomi Madani juga memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat melalui peningkatan pendapatan boleh guna dan penstrukturan semula subsidi yang lebih adil.
Namun begitu, cabaran pelaksanaan dasar kekal besar. Malaysia mempunyai latar sosioekonomi yang sangat berbeza antara negeri di mana pendekatan yang sesuai di Lembah Klang mungkin tidak berkesan di kawasan pedalaman Sabah atau Kelantan.
Oleh itu, pelaksanaan dasar perlu disesuaikan dengan konteks tempatan dan melibatkan penyertaan komuniti agar impaknya lebih berkesan.
Selain itu, kerajaan juga disaran memperkukuh sistem pendidikan dan latihan kemahiran agar rakyat mampu memperoleh pekerjaan bergaji tinggi.
Pembangunan ekonomi digital, pertanian moden dan industri hijau boleh menjadi pemacu baharu kepada peningkatan pendapatan rakyat luar bandar.
Usaha seperti ini lebih mampan berbanding hanya menyalurkan bantuan tunai berkala.

Ke arah pembangunan seimbang
Dalam jangka panjang, penyelesaian kepada masalah ini memerlukan perubahan struktur ekonomi yang menyeluruh.
Pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat bukan sekadar angka KDNK.
Malaysia juga perlu memberi perhatian kepada pembangunan wilayah yang lebih seimbang supaya jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar tidak terus berlaku.
Pembangunan yang berpaksikan rakyat serta berasaskan keadilan sosial adalah kunci kepada masa depan ekonomi negara.
Pendapatan yang meningkat tanpa kawalan terhadap kos sara hidup hanya akan mengekalkan tekanan ekonomi dalam kalangan rakyat.
Oleh itu, dasar ekonomi negara perlu memastikan keseimbangan antara pertumbuhan dan kesejahteraan supaya rakyat benar-benar merasai manfaat kemajuan.
Cabaran ekonomi hari ini bukan hanya soal menambah pendapatan tetapi bagaimana memastikan nilai sebenar pendapatan itu mampu menjamin kehidupan yang lebih stabil dan bermaruah.
Dalam erti kata lain, pertumbuhan ekonomi hanya bermakna apabila ia membawa kelegaan kepada rakyat dan bukan menambah beban mereka.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) Dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nurul Hanim Mohd Zamri.
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli.
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my
Ringkasan AI
- Kenaikan kos sara hidup merupakan isu utama di kalangan rakyat Malaysia terutama di bandar besar
- Inflasi makanan dan minuman mencatatkan kenaikan hampir 4.0 peratus, memberi tekanan kepada golongan B40 dan M40
- Purata gaji bulanan pekerja Malaysia adalah sekitar RM3,800 namun banyak isi rumah masih mengalami kesukaran kewangan
- Gaji minimum telah dinaikkan kepada RM1,500 tetapi jumlah ini masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan di bandar besar
- Tekanan ekonomi yang dialami ini termasuk bebanan hutang isi rumah yang tinggi dan kebergantungan terhadap bantuan kerajaan