Sistem pendidikan tinggi di Malaysia sering kali dikritik kerana kecenderungannya untuk mengekalkan pendekatan yang terlalu berorentasikan teori, dengan pendedahkan yang terhad dan tidak mencukupi kepada persekitaran dan tuntutan dunia pekerjaan yang sebenar. Gambar kecil: Azrina Natasha dan Dr Jaharudin
Sistem pendidikan tinggi di Malaysia sering kali dikritik kerana kecenderungannya untuk mengekalkan pendekatan yang terlalu berorentasikan teori, dengan pendedahkan yang terhad dan tidak mencukupi kepada persekitaran dan tuntutan dunia pekerjaan yang sebenar. Gambar kecil: Azrina Natasha dan Dr Jaharudin

Ramai graduan menganggur: Salah sistem pendidikan @ pasaran pekerjaan

02 Jan 2026 10:00am

Isu pengangguran graduan kembali menjadi fokus perbincangan utama dalam kalangan masyarakat Malaysia, terutamanya apabila semakin ramai individu yang menamatkan pengajian tinggi menyuarakan kebimbangan terhadap kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

Walaupun kadar pengangguran graduan yang dicatatkan di Malaysia berada pada tahap yang relatif rendah iaitu sekitar tiga peratus pada tahun lalu, angka statistik ini didapati tidak menggambarkan realiti sebenar secara keseluruhan.

Hal ini kerana sebilangan besar graduan sebenarnya dalam sektor atau jawatan yang tidak setara dengan kelayakan akademik yang dimiliki.

Situasi ketidakpadanan ini menimbulkan persoalan kritikal mengenai punca asasnya, adakah sistem pendidikan negara gagal untuk melahirkan graduan yang memiliki kemahiran dan pengetahuan yang relevan dengan keperluan pasaran kerja atau adakah pasaran pekerjaan sendiri yang semakin mengecil dan tidak lagi berupaya menampung peningkatan jumlah graduan setiap tahun.

Dalam menilai isu ini, tidak wajar untuk menuding jari kepada satu pihak sahaja.

Sistem pendidikan tinggi di Malaysia sering kali dikritik kerana kecenderungannya untuk mengekalkan pendekatan yang terlalu berorentasikan teori, dengan pendedahkan yang terhad dan tidak mencukupi kepada persekitaran dan tuntutan dunia pekerjaan yang sebenar.

Terdapat pandangan bahawa kebanyakan program pengajian yang ditawarkan kini tidak lagi selari dengan permintaan pantas industri moden, terutamanya didorong oleh kemajuan pesat dalam arus digitalisasi, automasi dan penerapan kecerdasan buatan (AI).

Majikan pada hari ini bukan sekadar mencari kelayakan akademik yang cemerlang, malah mereka memberikan penekanan yang signifikan terhadap kemahiran insaniah dan kemahiran abad ke-21.

Artikel Berkaitan:

Antara keupayaan yang amat dihargai oleh pihak industri termasuklah kemahiran menyelesaikan masalah yang kompleks, keupayaan komunikasi yang berkesan, pemikiran kreatif dan kebolehan untuk beradaptasi dengan pantas dalam persekitaran kerja yang dinamik.

Sering kali kedengaran rungutan daripada majikan yang mendakwa bahawa graduan baharu 'tidak bersedia untuk bekerja' meskipun mereka mempunyai latar belakang akademik yang kukuh.

Ini menunjukkan wujud jurang yang jelas antara output institusi pendidikan dengan input yang diperlukan oleh pasaran kerja.

Oleh itu, universiti-universiti perlu memperkukuhkan hubungan strategik dengan industri untuk memastikan kurikulum sentiasa dikemas kini dan mengutamakan model pembelajaran berasaskan pengalaman seperti program latihan industri yang berkualiti dan projek lapangan yang sebenar.

Pada masa yang sama, tidak adil untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas sistem pendidikan.

Pasaran pekerjaan semasa menghadapi cabaran yang semakin meningkat dan kualiti pekerjaan yang ditawarkan tidak mampu memenuhi kadar pertumbuhan jumlah graduan yang memasuki pasaran setiap tahun.

Faktor-faktor ekonomi global dan tempatan seperti peningkatan kos operasi dan keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan banyak syarikat bersikap lebih berhati-hati.

Selain itu, pihak syarikat cenderung untuk mengutamakan calon yang mempunyai pengalaman kerja yang relevan.

Namun, ini mewujudkan dilema klasik 'ayam dan telur' kerana graduan baharu tidak diberikan peluang yang sewajarnya untuk membina pengalaman tersebut.

Akibatnya, ramai graduan terpaksa akur menerima pekerjaan sementara (gigeconomy) atau bekerja di bawah tahap kelayakan akademik mereka kerana didorong oleh kebimbangan untuk tidak mepunyai sumber pendapatan jika menunggu terlalu lama.

Keadaan under employment ini bukan sahaja melemahkan motivasi individu tersebut, malah ia memberikan kesan negatif jangka panjang kepada pembangunan kerjaya dan kestabilan ekonomi seluruh generasi muda.

Kehidupan graduan masa kini hidup dalam zaman yang berbeza daripada generasi terdahulu. Jika dahulu ijazah sudah cukup untuk menjamin pekerjaan, kini situasinya jauh lebih kompleks.

Dalam ekonomi digital, kelayakan akademik hanya salah satu daripada banyak faktor yang dinilai.

Kemahiran tambahan seperti literasi digital, kemahiran bahasa, penggunaan teknologi, pengalaman menyertai projek sebenar serta kemampuan belajar secara berterusan menjadi nilai penting yang menentukan kebolehpasaran seseorang graduan.

Oleh itu, sebahagian punca isu pengangguran graduan berpunca daripada kegagalan sistem pendidikan menyesuaikan diri dengan keperluan semasa dan berpunca daripada ketidakseimbangan antara jumlah graduan dan peluang pekerjaan yang terhad.

Secara keseluruhannya, fenomena pengangguran graduan berpunca daripada gabungan kegagalan sistem pendidikan untuk menyesuaikan diri dengan keperluan industri semasa dan ketidakseimbangan yang ketara antara bekalan graduan dan kekangan peluang pekerjaan yang berkualiti.

Sebagai sebuah negara yang bercita-cita untuk mencapai status ekonomi maju, Malaysia tidak boleh memandang ringan isu pengangguran graduan ini tanpa tindakan penyelesaian yang segera dan berterusan.

Penyelesaian memerlukan transfomasi menyeluruh yang menuntut kerjasama yang bersepadu antara universiti, industri dan pihak kerajaan.

Pihak industri perlu memainkan peranan yang lebih aktif dengan lebih terbuka untuk menawarkan peluang kepada graduan baharu melalui penyediaan program latihan pekerjaan dan pembangunan bakat berstruktur.

Akhir sekali, adalah penting untuk mengakui bahawa isu graduan menganggur melangkaui sekadar statistik namun ia merupakan cerminan kepada struktur ekonomi negara, kesediaan sistem pendidikan yang sentiasa berubah.

Jika Malaysia berhasrat untuk melihat graduan tempatan berdiri setanding dengan graduan antarabangsa, adalah penting untuk membentuk ekosistem pendidikan dan pekerjaan yang mampu menyokong perkembangan bakat secara holistik.

Generasi muda merupakan aset strategik negara dan masa depan negara bergantung kepada sejauh mana kita dapat memastikan potensi mereka dapat berkembang.

Maklumat penulis:

1) Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Azrina Natasha Ab Karim

2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Dr Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ringkasan AI

  • Isu pengangguran graduan menjadi fokus utama di Malaysia kerana kesukaran mendapat pekerjaan yang setara dengan kelayakan akademik
  • Sistem pendidikan dilihat gagal menghasilkan graduan yang memenuhi keperluan pasaran kerja moden yang dinamis misalnya kemajuan digital
  • Majikan hari ini mencari graduan dengan kemahiran insaniah dan kemahiran abad ke-21 seperti kemampuan menyelesaikan masalah dan pemikiran kreatif
  • Pengangguran graduan juga disebabkan oleh pasaran pekerjaan yang tidak mampu menampung jumlah graduan yang bertambah setiap tahun
  • Perlunya kerjasama strategik antara universiti, industri, dan pihak kerajaan untuk menangani isu pengangguran graduan secara berkesan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan