Riba dan alternatifnya dalam Islam
Riba atau faedah adalah salah satu konsep yang paling dikutuk dalam ekonomi Islam. Larangan terhadap riba bukan sahaja terdapat dalam al-Quran, tetapi juga dalam hadis-hadis Nabi Muhammad SAW.
Perbuatan riba dianggap sebagai amalan ataupun perbuatan yang tidak adil dan cenderung untuk mengambil kesempatan atau manfaat terhadap seseorang. Hal ini telah membawa kepada ketidakseimbangan ekonomi dan sosial.
Secara harfiahnya, riba bermaksud pertumbuhan atau peningkatan, tetapi dalam konteks ekonomi, ia merujuk kepada faedah atau keuntungan yang diperoleh secara tidak adil melalui pinjaman wang.
Riba terbahagi kepada dua jenis iaitu Riba al-Nasiah, yang merujuk kepada faedah yang dikenakan ke atas pinjaman wang berdasarkan tempoh masa pinjaman dan Riba al-Fadl (pertukaran barangan yang tidak sama nilai atau kuantitinya) mahupun jumlahnya.
Larangan terhadap riba ditegaskan dalam beberapa ayat al-Quran seperti dalam Surah Al-Baqarah, ayat 275, yang menunjukkan betapa seriusnya larangan terhadap riba dalam Islam.
Terdapat beberapa implikasi negatif apabila mengamalkan riba kepada ekonomi dan masyarakat.
Ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan sosial kerana jurang ekonomi yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin, di samping menyebabkan eksploitasi di mana peminjam sering dimanfaatkan secara berlebihan oleh pemberi pinjaman yang mengenakan faedah ataupun kadar bunga yang tinggi.
Hal ini telah mengakibatkan mereka terjebak dalam kitaran hutangsehingga menyebabkan mereka terpaksa membuat pnjaman bank untuk melunaskan hutang sehingga diisytiharkan muflis.
Selain itu, amalan riba boleh membawa kepada ketidakstabilan ekonomi kerana ia tidak menggalakkan pelaburan produktif.
Riba cenderung mengalihkan sumber kewangan dari sektor yang produktif kepada sektor yang kurang produktif.
Pelaburan yang mengandungi unsur riba biasanya menghasilkan keuntungan yang lebih tinggi bagi pemberi pnjam, tetapi tidak menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang menyeluruh pada masa kini.
Peningkatan kos modal yang tinggi akibat riba boleh mengehadkan akses perniagaan kecil dan sederhana (PKS) kepada pembiayaan yang diperlukan untuk memperluaskan perniagaan mereka.
Hal ini telah menyukarkan PKS untuk mendapatkan pinjaman yang diperlukan bagi mengembangkan potensi mereka dalam kitaran ekonomi.
PKS sering menjadi tulang belakang ekonomi yang telah banyak menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda pada masa kini, tetapi mereka mungkin tidak mampu menanggung beban faedah yang tinggi.
Pelaburan dan sektor
Pelaburan yang sepatutnya disalurkan kepada sektor yang menghasilkan barangan dan perkhidmatan seperti sektor perkilangan, pertanian dan teknologi mungkin akan berkurangan.
Sektor-sektor ini merupakan asas kepada ekonomi yang kuat dan mampan kerana mereka menghasilkan nilai yang sebenar dan pekerjaan yang adil dan telus.
Dalam konteks ekonomi semasa, krisis kewangan global yang berulang kali berlaku menunjukkan kelemahan sistem kewangan konvensional yang berasaskan riba.
Kadar faedah yang tinggi dan spekulasi berlebihan telah menyebabkan ketidakstabilan pasaran dan kebankrapan yang sangat meluas. Situasi ini menekankan kepentingan mencari pilihan atau cari yang lebih beretika dan stabil.
Ekonomi Islam menawarkan beberapa pilihan atau cara yang adil dan etika bagi menggantikan riba.
Antara alternatif tersebut ialah mudharabah, di mana pemilik modal (rabbul mal) menyediakan modal kepada pengusaha (mudarib) untuk menjalankan perniagaan, dengan keuntungan yang diperoleh dibahagikan mengikut nisbah yang dipersetujui, manakala kerugian ditanggung oleh pemilik modal kecuali jika berlaku kecuaian atau penipuan oleh pengusaha atau pemilik.
Selain itu, terdapat juga musharakah iaitu perkongsian di mana semua pihak penyumbang modal dan berkongsi keuntungan serta kerugian mengikut nisbah yang dipersetujui, yang menggalakkan kerjasama dan keadilan dalam perniagaan.
Murabahah pula melibatkan jual beli dengan penambahan keuntungan yang dipersetujui, di mana bank Islam akan membeli aset yang diperlukan oleh pelanggan dan menjualnya kepada pelanggan dengan harga kos dan ditambah dengan keuntungan.
Hal ini dijalankan untuk memastikan transaksi yang telus dan adil.
Ijarah yang merupakan kontrak sewa di mana pemilik aset menyewakan asetnya kepada pelanggan untuk tempoh tertentu dengan bayaran sewa, membolehkan penggunaan aset tanpa perlu memiliki sepenuhnya.
Qard-al Hasan (pinjaman ihsan) adalah pinjaman tanpa faedah yang diberikan untuk membantu mereka yang memerlukan, di mana peminjam hanya perlu membayar jumlah pokok tanpa sebarang tambahan faedah.
Ia merupakan salah satu konsep penting dalam perbankan dan kewangan islam yang bertujuan untuk membantu individu atau pihak yang memerlukan tanpa mengenakan sebarang kadar faedah ataupun bunga mahupun keuntungan tambahan kepada pemberi pinjaman.
Ketidakadilan sosial
Riba juga telah menyebabkan ketidakadilan sosial dalam masyarakat sehingga memberi kesan terhadap ekonomi negara.
Hal ini telah menyebabkan pengaliran sistem kewangan menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan jurang antara golongan yang kaya dengan golongan yang miskin.
Individu yang baru memulakan perniagaan akan merasa sedikit terbeban dengan kadar bayaran faedah yang tinggi dan menghadapi beban kewangan yang berat.
Secara tidak langsung telah menambah kesukaran untuk memenuhi keperluan asas untk melabur pada masa akan datang.
Secara keseluruhannya, riba adalah amalan yang dilarang keras dalam Islam kerana kesannya yang merosakkan terhadap masyarakat dan ekonomi.
Sistem ekonomi Islam menawarkan alternatif yang lebih adil dan beretika seperti mudharabah, musharakah, murabahah, ijarah, dan qard hasan.
Dengan mengamalkan prinsip-prinsip ini, masyarakat dapat mencapai keadilan ekonomi dan kesejahteraan sosial yang lebih baik.
Melalui pemahaman dan penerapan prinsip-prinsip ekonomi Islam, kita dapat membina sistem kewangan yang lebih adil dan stabil, yang amat diperlukan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa yang sering tidak menentu.
Kesimpulannya, ketidakseimbangan ekonomi global, termasuklah krisis kewangan, ketidakstabilan pasaran dan ketidakseimbangan kekayaan dalam kalangan masyarakat memerlukan alternatif atau pendekatan yang lebih efektif dan mampan.
Dengan mengamalkan ekonomi islam, kita sebagai umat islam dapat membentuk satu sistem kewangan yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan serta mampu menghadapi cabaran-cabaran yang akan datang dengan lebih mudah dan berkesan.
Secara tidak langsung keadilan sosial dan kesejahteraan masyarakat dapat dijaga.
Maklumat Penulis:
Mahasiswa Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) Dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Farah Nazifa Hamidi
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my