No Image Caption

Suara gelandangan yang sering diabaikan

30 May 2025 02:30pm

Pada pandangan masyarakat, gelandangan sering kali dilabel sebagai pemalas, penagih dadah atau beban sosial. Stereotaip ini menyebabkan punca suara gelandangan tidak didengari oleh masyarakat atau pihak berkuasa.

Menurut kajian oleh Universiti Malaya (UM), ramai gelandangan berdepan dengan stigma masyarakat yang menganggap gelandangan sebagai pemalas atau penagih dadah sedangkan realitinya lebih kompleks, melibatkan isu seperti kehilangan pekerjaan, masalah mental dan kekurangan sokongan sosial.

Statistik rasmi di Malaysia telah mendedahkan bahawa jumlah gelandangan pada tahun ini lebih meningkat secara ketara berbanding tahun sebelum ini.

Tahap sosioekonomi yang semakin teruk dan sistem kebajikan negara yang semakin lemah menjadi punca utama yang dihadapi oleh gelandangan.

Kehilangan dokumen penting seperti kad pengenalan dan kad bank merupakan masalah utama yang dihadapi gelandangan.

Gaya hidup yang tidak tetap dan sering berpindah randah serta tiada ruang privasi adalah punca barangan peribadi mereka sukar untuk disimpan dengan selamat.

Ini memberikan kesan kepada gelandangan jika mereka ingin bekerja atau memohon bantuan kerajaan.

Selain daripada itu, diskriminasi terhadap gelandangan berlaku akibat ketidaktahuan masyarakat tentang punca sebenar kehidupan mereka.

Artikel Berkaitan:

Masyarakat sering menilai berdasarkan rupa luaran, bukan realiti hidup yang dihadapi oleh mereka.

Ini membuatkan gelandangan yang ingin berubah ke arah yang lebih baik, akan merasakan dirinya dihukum dan akhirnya hilang semangat untuk keluar dari masalah, lalu terus kekal dalam situasi tersebut.

Selain daripada masalah kehilangan dokumen penting dan diskriminasi, gelandangan juga menghadapi kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan asas seperti khidmat kesihatan dan pendidikan.

Ketiadaan alamat tetap dan dokumen penting seperti kad pengenalan atau surat beranak adalah punca mereka disisihkan daripada sistem kesihatan awam dan tidak dapat mendaftar untuk mendapatkan bantuan kerajaan.

Bagi gelandangan yang mempunyai anak, pendaftaran pendidikan anak turut terjejas dan menjadi lebih rumit.

Akibatnya, mereka tercicir daripada pendidikan formal dan sukar untuk keluar daripada kitaran kemiskinan sekali gus menjejaskan masa depan dan peluang memperbaiki taraf hidup mereka.

Pengguna media sosial mempengaruhi pembentukan pandangan masyarakat terhadap gelandangan. Kebanyakkan liputan media sering berat sebelah, memaparkan gelandangan sebagai ancaman keselamatan awam.

Hal ini secara tidak langsung mengukuhkan stereotaip negatif bahawa mereka adalah individu yang malas, kotor, dan tidak bertanggungjawab.

Kekurangan liputan media yang menyeluruh dan lebih terbuka menjadi punca utama masyarakat tidak memahami realiti sebenar kehidupan gelandangan.

Oleh itu, pihak media dan pengguna media sosial perlu memainkan peranan yang penting untuk lebih bertanggungjawab dan menampil naratif yang seimbang dan penuh impati.

Kisah perubahan yang pernah dialami oleh bekas gelandangan perlu diketengahkan bagi membuka mata masyarakat.

Pendekatan media seperti dokumentari boleh menjadi platform penting dalam mengangkat suara gelandangan agar lebih didengari dan dihormati.

Masalah yang dihadapi oleh gelandangan tidak dapat diluahkan atau dikongsikan kepada orang ramai. Hanya disebabkan mereka gelandangan, suara mereka tidak didengari.

Oleh itu, mereka mula menulis puisi tentang kehidupan jalanan, melukis graffiti di lorong-lorong yang sunyi sebagai platform untuk mereka meluahkan ekspresi hati yang lama dipendamkan.

Selain daripada itu, ada juga yang menyertai program komuniti anjuran NGO dan menggunakan peluang tersebut untuk bercerita tentang kisah harian mereka yang jarang diketahui umum.

Program komuniti yang dianjurkan seperti sesi bercerita, bengkel seni dan forum komuniti telah membantu gelandangan mengekpresikan diri mereka dalam persekitaran yang selamat.

Kesimpulannya, gelandangan bukan sekadar angka dalam statistik kebajikan, namun mereka merupakan manusia yang mempunyai kisah kehidupan, pendapat dan harapan.

Tambahan pula, kebebasan bersuara adalah hak asasi yang sepatutnya dinikmati oleh semua individu, tanpa mengira status sosial atau tempat tinggal.

Walaupun golongan gelandangan sering diabaikan, namun mereka mempunyai pandangan dan keperluan yang sah untuk didengari.

Kerajaan dan masyarakat perlu menyokong dan juga memperluaskan inisiatif seperti ini untuk memastikan suara gelandangan tidak terus dipinggirkan.

Maklumat penulis:

1) Pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Shah Alam, Noor Izreena Jaslan

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp