No Image Caption

Kebebasan akademik hak cendekiawan yang mesti dipertahankan

13 Nov 2024 08:00am

Saya berpeluang menghadiri syarahan oleh Profesor Jeffrey Sachs di Universiti Malaya pada 22 Januari awal tahun ini, di mana beliau dengan lantang mengkritik dasar ekonomi dan dasar luar negaranya sendiri, Amerika Syarikat (AS).

Apa yang menarik, kritikan itu disampaikan tanpa halangan, malah dihargai. Bahkan, pemimpin tertinggi negara kita, Perdana Menteri serta Menteri Pendidikan Tinggi turut hadir mendengar pandangan beliau.

Namun, ironinya, di Malaysia, kebebasan bersuara bagi ahli akademik tempatan masih lagi dihambat dengan Akta 605.

Perkembangan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan hakikat bahawa terdapat peruntukan perundangan yang boleh digunakan terhadap suara-suara kritis dalam kalangan akademik, perlu dipandang serius oleh masyarakat akademik dan kesatuan akademik di seluruh negara.

Kita tidak boleh membiarkan kebebasan akademik – satu aspek penting dalam tradisi intelektual – dilumpuhkan begitu sahaja. Kebebasan akademik mesti dipelihara, dipertahankan, dan diinstitusikan dalam undang-undang.

Dalam konteks ini, penting untuk kita sedar bahawa pada setiap 5 Oktober, Malaysia menyambut Hari Akademia, satu peringatan tahunan untuk menghargai sumbangan dan perjuangan ahli akademik di seluruh dunia.

Sempena hari yang penuh bermakna itu, pihak berkepentingan seperti kerajaan, institusi pengajian tinggi, dan kesatuan akademik seharusnya menggandakan usaha untuk memartabatkan dan menjunjung prinsip kebebasan akademik.

Hari Akademia bukan sekadar meraikan ilmu, tetapi menjadi peringatan untuk memastikan hak-hak ahli akademik terus dihormati dan dilindungi. Sebagai penjawat awam yang dibayar gaji melalui wang rakyat, pandangan ahli akademik sepatutnya menjadi hak rakyat untuk diakses secara terbuka.

Artikel Berkaitan:

Rakyat berhak mendengar kritikan, dapatan kajian, dan ulasan mereka secara langsung berkenaan dasar-dasar serta keputusan yang melibatkan kepentingan negara.

Dalam era pasca-moden sekarang, media sosial merupakan salah satu wahana bagi ahli akademik tempatan dan juga antarabangsa meluahkan pandangan secara konstruktif mengenai dasar-dasar negara. Jika suara-suara ini disekat, apa yang tinggal hanyalah konten yang tidak menyumbang kepada pembangunan negara seperti hiburan cetek atau isu-isu sensasi yang tiada nilai.

Ahli akademik bukan sekadar bersembang kosong, sebaliknya mereka berkongsi hasil kajian yang dibiayai oleh geran awam, menggunakan instrumen kajian yang tervalidasi untuk mengkritik dan memperbaiki sistem yang ada. Misalnya, model CIPP adalah salah satu kerangka penilaian pendidikan yang lazimnya menjadi asas dalam kritikan terhadap sistem pendidikan negara yang digunakan oleh ahli akademik dalam Malaysia.

Ahli akademik telah dilatih khusus untuk berfikir secara kritikal dan analitikal, serta bertanggungjawab terhadap apa-apa yang mereka keluarkan seperti yang pernah diingatkan oleh penyelia PhD saya, question everything, even the accepted wisdom.

Jika pemikiran kritis ini disekat, maka ia adalah satu bentuk pembaziran wang rakyat yang membiayai pendidikan tinggi para cendekiawan ini.

Berbalik kepada syarahan Profesor Jeffrey Sachs, negara ini tidak akan mampu melahirkan tokoh kesarjanaan setaraf mereka sekiranya mulut dan tangan para akademia diikat dengan akta dan peraturan yang menekan.

Oleh itu, kebebasan akademik haruslah dimaktubkan dalam undang-undang yang lebih kukuh, seperti pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Saya dan pastinya para ahli akademik lain, menyambut baik kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang menyokong pindaan Akta 605 dan telah sedia maklum bahawa usaha pindaan ini telahpun melalui proses-proses penting seperti yang telah diusahakan oleh mantan Menteri pendidikan Dr Maszlee Malik.

Oleh itu, ia tidak sepatutnya mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan. Ini penting supaya tiada lagi pekeliling atau arahan daripada institusi pengajian tinggi yang menyekat kebebasan ini.

Sekiranya ahli akademik tempatan dihalang untuk menyuarakan pandangan serta kritikan mereka secara umum demi kebaikan negara, maka tidak usahlah kita bercakap mengenai usaha untuk memandaikan rakyat.

Tanpa kebebasan akademik, kita tidak akan dapat melahirkan tokoh akademik setaraf Profesor Jeffrey Sachs, atau Professor Joseph Stiglitz, yang berani menentang arus dan memperjuangkan kebenaran.

Kebebasan bersuara adalah tunjang kepada pembangunan intelektual dan moral sesebuah negara. Jika kita ingin negara ini melahirkan cendekiawan terbilang, kita mesti melonggarkan ikatan-ikatan peraturan yang menekan.

Hanya dengan kebebasan akademik yang sebenar, kita dapat memastikan masa depan intelektual negara terus berkembang dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Maklumat Penulis

Pensyarah Kanan di Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, Dr Zahiruddin Fitri Abu Hassan

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp