'Kejayaan dirangkul ini datang daripada doa ibu bapa & anak-anak yatim' - Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UKM
Kejayaan bukannya datang bergolek. Selain usaha, doa adalah kunci utama sesebuah kejayaan.
Demikian ungkap penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-52, Muhammad Yamin Md Sharohhuddin.
Muhammad Yamin berpendapat, selain doa yang tidak putus dari ibu bapa, keluarga dan para pensyarah, doa anak-anak yatim yang disantuni adalah rahsia kejayaannya sehingga meraih anugerah berprestij itu.
"Bermula awal semester tahun empat, saya banyak mengisi masa lapang sebagai sukarelawan dengan menjadi tenaga pengajar kepada anak-anak yatim Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim/Miskin Rukaiyah di Sungai Merab, Selangor.
"Saya juga menguruskan pengangkutan dan mempersiapkan mereka sewaktu persekolahan. Saya percaya anugerah dirangkul adalah hasil doa daripada kanak-kanak di sini,” ujarnya.
Menurut Muhammad Yamin, dia pernah gagal semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di mana hanya memperoleh 4A walaupun dinobatkan pelajar terbaik di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) suatu masa dahulu.
"Selain gagal, saya juga berasa rendah diri ketika di Kolej Matrikusi kerana tidak memperoleh keputusan cemerlang semester satu.
"Oleh itu, diri nekad untuk bangkit semula semasa semester dua tetapi peperiksaan terpaksa dibatalkan akibat Covid-19 yang menjurus kepada penurunan purata nilai gred saya,” katanya.
Sambung pemuda ini lagi, walaupun cita-citanya ingin menyambung pengajian dalam bidang perubatan dan mengejar impian bergelar Pakar Sakit Tuan tidak kesampaian, tetapi kejayaan menempatkan diri di UKM memberi sinar baharu kepada dirinya.
"Di universiti watan inilah, saya bangkit semula sekali gus menjadi penerima Anugerah Pelajaran Diraja,” jelasnya yang kini menggalas jawatan sebagai Project Associate, Malaysian Recycling Alliance (MAREA), Malaysia.