UPM bimbing anak-anak yatim dan asnaf ilmu pertolongan cemas
Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar menganjurkan program Putra Sentuhan Kasih bersama anak-anak yatim dan asnaf bagi mendedahkan ilmu pertolongan cemas.
Program bertemakan ‘Berikan Kasih, Sebarkan Harapan’ yang diadakan di Ladang 10, Fakulti Pertanian UPM disertai 80 peserta yang terdiri daripada penuntut Bakti Siswa UPM dan anak-anak yatim serta asnaf berumur 13 hingga 17 tahun bagi membantu mereka mengembangkan kemahiran sosial.
Menurut Pengarah program, Ummi Hafizah Ahmad Hairi, Putra Sentuhan Kasih bertujuan mendorong dan melahirkan individu menjadi lebih prihatin serta meningkatkan keyakinan diri mereka semasa dalam kecemasan.
Katanya, program juga memberi anak-anak yatim dan asnaf peluang untuk terlibat dalam aktiviti sosial serta berinteraksi dengan peserta lain bagi meningkatkan daya saing mereka sepanjang menghadapi cabaran
"Putra Sentuhan Kasih ini bukan sahaja memberi kemahiran asas pertolongan cemas yang amat bermakna kepada peserta malah mereka turut didedahkan kepada kemahiran asas lain yang penting dalam kehidupan harian.
"Latihan simulasi kecemasan berkenaan membantu mereka berlatih menangani kecemasan secara realistik seperti kemalangan kecil atau kecederaan serius,” ujarnya.
Sementara itu, mahasiswa Bacelor Sains Haiwan dengan Kepujian, Alisya Rosman berkata, program tersebut membantu anak-anak yatim dan asnaf mempelajari cara berkomunikasi dengan lebih baik yang boleh dimanfaatkan dalam situasi kecemasan untuk mereka peka dengan arahan yang jelas.
"Komunikasi efektif dalam situasi kecemasan adalah penting untuk memastikan tindakan yang cepat dan tepat supaya bersiap sedia dalam menghadapi sebarang situasi.
"Mereka juga diberi penjelasan secara praktikal bagaimana menangani kecederaan ringan, memberikan CPR atau melakukan tindakan awal dalam kecemasan,” katanya.
Alisya turut menyatakan, program bukan sahaja mengajar teori sahaja tetapi ia turut memastikan peserta benar-benar memahami langkah-langkah yang perlu diambil dalam situasi kecemasan.