Uwais Al-Qarni diumumkan sebagai penerima Anugerah Pengarah di Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Johor 2025.
Uwais Al-Qarni diumumkan sebagai penerima Anugerah Pengarah di Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Johor 2025.

Kekurangan diri bukan halangan Uwais Al-Qarni raih Anugerah Pengarah!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
08 Sep 2025 04:47pm

"Kekurangan diri bukanlah halangan untuk kita berjaya, sebaliknya ia adalah kekuatan untuk mengukir kejayaan." 

Demikian semangat yang ditunjukkan oleh Muhammad Uwais Al-Qarni Muhamad Ismail, graduan Kolej Komuniti (KK) Bandar Penawar yang baru sahaja diumumkan sebagai penerima Anugerah Pengarah pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Johor 2025.

Walaupun berdepan kekangan fizikal akibat cerebral palsy, anak muda berusia awal 20-an ini tidak pernah menyerah kalah.

Malah, dia membuktikan kekuatan tekad dan sokongan keluarga mampu mengubah cabaran menjadi peluang.

"Ibu dan ayah selalu mengingatkan saya bahawa kekurangan bukanlah penghalang, tetapi cabaran untuk terus melangkah. Kata-kata itulah yang memberi semangat untuk saya belajar bersungguh-sungguh hingga ke tahap ini," katanya selepas majlis yang berlangsung di Dewan Permata Marjan, Politeknik Mersing.

No Image Caption

Uwais Al-Qarni yang bercita-cita untuk menceburi bidang seni bina kini bersedia melanjutkan pengajian ke peringkat Pra Diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor.

Pencapaian ini menjadikan Uwais Al-Qarni bukan sahaja kebanggaan keluarganya, malah ikon kepada rakan-rakan dan graduan lain yang diraikan pada konvokesyen kali ini.

Terdahulu, seramai 615 graduan dari 12 Kolej Komuniti seluruh Johor telah menerima diploma dan sijil masing-masing dalam majlis berprestij itu.

Majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah khas kepada graduan cemerlang antaranya Anugerah Pengarah, Anugerah Keusahawanan, Anugerah Ketua Pengarah dan Anugerah Pelajar Cemerlang. 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp