Kelab Warisan Tari UTHM merangkumi kumpulan tari zapin, inang, joget, moden, jazz, randai dan banyak lagi termasuk tarian dari Sabah serta Sarawak.
Kelab Warisan Tari UTHM merangkumi kumpulan tari zapin, inang, joget, moden, jazz, randai dan banyak lagi termasuk tarian dari Sabah serta Sarawak.

Kelab Warisan UTHM lahir bakat seni tari dinamik

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
08 Feb 2023 02:47pm
A
A
A

Gerakan tarian menterjemahkan 'suara hati' penari melalui pergerakan anggota tubuh badan sehingga dapat memberi kesan mendalam terhadap khalayak umum.

Dalam perkembangan seni tarian hari ini, ia banyak dipengaruhi balet, moden kontemporari, jazz, latin dan sebagainya terutama apabila dipraktikkan pada platform media sosial.

Begitupun, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) melalui Kelab Warisan UTHM tidak melupakan seni tarian bersifat tradisional dalam memartabatkan budaya tradisi agar tidak ditelan arus pemodenan.

Penasihat Kelab Warisan UTHM, Rosdi Abdullah berkata, dalam memperkasa seni tari, terdapat bidang pengkhususan tarian dikenali sebagai kelab Warisan Tari UTHM yang merupakan sebahagian daripada Kelab Warisan UTHM.

Beliau memberitahu, kelab Warisan Tari merangkumi kumpulan tari zapin, inang, joget, moden, jazz, randai dan banyak lagi termasuk tarian dari Sabah serta Sarawak.

“Kepelbagaian seni tari berkenaan akan memberi pendedahan kepada mahasiswa-mahasiswa untuk mendekati lebih banyak budaya warisan di negara ini.

“Bahkan, pengenalan pelbagai seni tari tersebut juga akan memberi pendedahan kepada seni tradisi sekali gus menanam perasaan cintakan budaya warisan turun-temurun itu.

Artikel Berkaitan:

“Penubuhan kelab terbabit sebagai platform melahirkan mahasiswa yang dinamik, beretika, dilengkapi ilmu malah berani menempuh pelbagai cabaran terutama melibatkan cabang seni dan budaya,” katanya.

Tuturnya, kelab Warisan Tari UTHM terlibat dalam pelbagai persembahan dan acara festival tari peringkat domestik serta global untuk memperkenalkan serta mempromosi seni tari warisan berzaman.

Selain itu, Rosdi menjelaskan, pembabitan para mahasiswa turut melibatkan Jom Masuk institut pengajian tinggi (IPT) Kebangsaan, Anugerah Seni Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM), Festival MAKUM dan banyak lagi.

Bercerita mengenai sejarah kelab terbabit, Rosdi menjelaskan, ia ditubuhkan pada April 2002 dengan nama Kelab Warisan Mahasiswa Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) kemudian bertukar kepada Kelab Warisan UTHM pada 2006.

“Ia merupakan kelab kebudayaan UTHM yang dikendalikan para penuntut universiti yang terlibat secara langsung dengan kebudayaan dan warisan.

“Kelab Warisan UTHM mempunyai lebih 200 ahli manakala kelab Warisan Tari UTHM pula kira-kira 50 ahli yang terdiri daripada mahasiswa pengajian diploma hingga ijazah sarjana,” katanya.

Kejayaan Kelab

Warisan UTHMPenyertaan terbaik International Performing Arts Festival (2023)

Juara Pengisahan Kenegaraan Kebangsaan (2020)

Tempat ketiga Pertandingan Teater Pendek MAKUM (2019)

Juara Pengisahan Kenegaraan Negeri Johor (2018)

Persembahan terbaik di Festival Langgam Tari Nusantara (2017)

Naib Juara pengisahan Kenegaraan Negeri Johor (2016)

Juara Festival Teater Negeri Johor (2015)

Naib Juara Festival Monodrama Johor (2013)

Penerima Anugerah Gambang Mustika MAKUM (2015, 2017, 2019 dan 2021)

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok