Nayli Ulya dan Nayli Uzma masing-masing berusia 18 tahun menjadikan UniSZA sebagai pilihan utama.
Nayli Ulya dan Nayli Uzma masing-masing berusia 18 tahun menjadikan UniSZA sebagai pilihan utama.

Kembar seiras cemerlang pilih UniSZA sambung pengajian

23 Jul 2024 05:26pm

Pasangan kembar seiras yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih melanjutkan pengajian mereka di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi kemasukan sesi 2024/2025.

Nayli Ulya Mohd Shafie dan Nayli Uzma Mohd Shafie masing-masing berusia 18 tahun menjadikan UniSZA sebagai pilihan utama untuk menyambung pengajian di peringkat diploma.

Nayli Ulya berkata, meskipun dia dan pasangan kembarnya akan terpisah kerana berbeza program pengajian dan kampus namun ia tidak menjadi masalah walaupun mereka selalu bersama sejak kecil.

“Kami bersyukur kerana berpeluang menyambung pengajian diploma dan mendapat program pengajian yang diinginkan walaupun terpaksa berpisah kerana berlainan kampus.

“Lagipun tiada masalah untuk kami berpisah buat sementara waktu demi menuntut ilmu dan mengejar kejayaan masing-masing," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pendaftaran Pelajar Baharu Asasi dan Diploma Sesi Akademik 2024/2025 di pekarangan Kolej Kediaman, UniSZA pada Selasa.

Menurut Nayli Ulya, mereka juga mengikuti jejak ibunya, Norhazlim Md Razali yang juga merupakan alumni KUSZA dan kini bertugas sebagai guru Bahasa Arab di sebuah sekolah.

Artikel Berkaitan:

Nayli Ulya memilih program Diploma Sains Komputer, Fakulti Informatik Komputern (FIK) di Kampus Besut manakala adiknya, Nayli Uzma ditempatkan di Kampus Gong Badak untuk program Diploma Teknologi Pembuatan, Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT).

Seramai 1,015 pelajar baharu asasi dan diploma telah mendaftar di UniSZA dan akan menjalani Minggu Mesra Siswa (MMS) selama lima hari bermula Selasa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp