
Kembara pelajar Kolej Matrikulasi Pahang dalam industri kimia
Lawatan industri merupakan satu inisiatif pendidikan yang sangat bermanfaat dalam memberi pendedahan dunia sebenar kepada para pelajar terutamanya bidang sains dan teknologi.
Baru-baru ini, seramai 34 orang pelajar aliran Sains bersama 11 orang pensyarah dari Kolej Matrikulasi Pahang telah mengadakan lawatan ke Jabatan Kimia Malaysia Negeri Pahang (Kimia Pahang). Lawatan ini bukan sahaja memperluaskan pemahaman mereka tentang bidang kimia secara teori dan praktikal, malah memberi kesedaran mengenai kepentingan sains dalam kehidupan seharian serta prospek kerjaya dalam bidang berkenaan.
Salah satu impak utama lawatan ini ialah memberikan pendedahan yang lebih mendalam tentang laluan kerjaya dalam bidang kimia.
Ceramah kerjaya yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Analisis Persekitaran dan Mikrobiologi Kimia Pahang, Zarida Zahari memberi gambaran jelas tentang peranan dan kepentingan ahli kimia dalam pelbagai sektor.
Para pelajar dapat memahami dengan lebih baik tentang peluang pekerjaan yang tersedia dalam industri kimia seperti forensik, alam sekitar, farmasi, dan pemprosesan bahan kimia.
Hal ini mampu memberikan motivasi kepada pelajar untuk meneruskan pengajian dalam bidang ini seterusnya memilih kerjaya yang sesuai dengan minat serta kebolehan mereka.
Selain itu, lawatan tersebut juga memberi peluang kepada pelajar untuk melihat secara langsung bagaimana teori yang mereka pelajari dalam kelas diaplikasikan dalam dunia sebenar.
Dengan melawat makmal dan fasiliti yang terdapat di Kimia Pahang, mereka dapat memahami proses analisis bahan kimia, teknik penyelidikan serta penggunaan peralatan makmal yang canggih.
Pengalaman ini pastinya membantu mereka dalam meningkatkan pemahaman konsep-konsep kimia secara lebih praktikal, seterusnya memudahkan mereka dalam menghadapi pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi.

Sementara itu, pensyarah cemerlang kimia, Kolej Matrikulasi Pahang, Nurul Hidayah Kamardin berkata, program ini berjaya membuka minda pelajar terhadap kepelbagaian laluan kerjaya dalam bidang kimia serta memupuk minat yang lebih mendalam terhadap subjek berkenaan.
Bagi Ketua Jabatan Sains Kolej Matrikulasi Pahang, Wan Zai Azlin Wan Aziz pula, lawatan mereka itu berjaya mencapai matlamatnya dalam memberi pendedahan yang lebih luas kepada pelajar dalam bidang sains dan teknologi.
"Lawatan ini juga membantu membina jaringan kerjasama antara institusi pendidikan dengan agensi luar, yang boleh dimanfaatkan untuk perkongsian ilmu dan peluang latihan pada masa hadapan.
"Ia bukan sahaja meningkatkan pemahaman para pelajar terhadap bidang kimia dan aplikasinya, malah membantu membentuk hala tuju kerjaya mereka dalam industri sains dan teknologi.
"Pendedahan awal seperti ini amat penting dalam melahirkan generasi saintis dan profesional yang berilmu serta berkemahiran tinggi, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara dalam bidang sains dan inovasi," katanya.