Ahmad Saffiyudeen meninggal dunia selepas pengsan ketika memberikan taklimat sukan di kolej berkenaan, malam tadi.
Ahmad Saffiyudeen meninggal dunia selepas pengsan ketika memberikan taklimat sukan di kolej berkenaan, malam tadi.

Pelajar cemerlang Kolej Matrikulasi Melaka meninggal dunia. 'Allahyarham bijak, baik dan sentiasa menghormati guru'

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
09 Feb 2025 05:11pm

Kematian pelajar Kolej Matrikulasi Melaka (KMM), Ahmad Saffiyudeen Ahamad Nzly, 19, pada Sabtu ditangisi bukan sahaja keluarga dan sahabat bahkan meruntun hati ramai rakyat Malaysia.

Allahyarham yang baru setahun belajar di kolej itu dikenali sebagai seorang pelajar yang baik dan menghormati guru.

Dia juga cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dan kini mengikuti pengajian dalam bidang perakaunan di KMM.

Menurut bapa saudaranya, Muhammad Fakrulrazi Abdul Talib, 39, arwah Ahmad Saffiyudeen meninggal dunia selepas pengsan ketika memberikan taklimat sukan di kolej berkenaan, malam tadi.

"Doktor maklumkan punca kematiannya akibat berlaku kebocoran pada jantung," katanya seperti dipetik dalam portal tempatan.

Terdahulu, Ahmad Saffiyudeen dari Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor disahkan meninggal pada Sabtu ketika sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Alor Gajah, Melaka.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, berdasarkan laporan Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar KMM, ketika kejadian pelajar jurusan perakaunan itu sedang memberikan taklimat berkaitan sukan bola baling kepada peserta di Dewan Terbuka Rahmat.

"Pada jam 9.30 malam, dia tiba-tiba jatuh pengsan sebelum diberikan rawatan kecemasan CPR (Cardiopulmonary Resuscitation) oleh beberapa pelajar dalam sesi itu yang mahir dan arif serta ahli Pertolongan Cemas St John Ambulans Malaysia bertauliah.

Artikel Berkaitan:

“Pelajar terbabit kemudian dikejarkan ke hospital dengan diiringi felo dan pegawai hal ehwal pelajar selain perkara itu turut dimaklumkan kepada ibu saudara mangsa.

"Ahmad Saffiyudeen disahkan meninggal dunia pada jam 11.14 malam tadi,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp