Narentheren (kiri) membawa pulang wang tunai dan trofi menerusi kemenangannya di AKRI 2024.
Narentheren (kiri) membawa pulang wang tunai dan trofi menerusi kemenangannya di AKRI 2024.

Kemenangan pensyarah UUM gembirakan warga kampus

04 Oct 2024 10:03am
A
A
A

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Narentheren Kaliappen diumum sebagai naib johan dalam Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif 2024 (AKRI 2024) di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Beliau yang memenangi naib johan bagi kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif Bersemuka berkata, projek yang membawa kejayaan itu adalah i3: Inquiry, Ideation & Implementation – Nurturing Tomorrow’s Leaders through International Business Service-Learning.

“Saya berjaya menerapkan pendekatan pembelajaran imersif yang mendorong pelajar terlibat secara aktif bagi kursus International Business Management Seminar melalui khidmat masyarakat.

“Usaha ini bertujuan membentuk pemimpin masa depan yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, UUM, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani mengucapkan tahniah dan syabas di atas pencapaian Narentheren yang amat membanggakan.

“Kemenangan beliau dalam Anugerah AKRI 2024 bukan sahaja mengharumkan nama UUM, tetapi juga merupakan bukti kehebatan warga akademik kita semasa mencipta inovasi dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP).

“Saya berharap agar kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga akademik UUM untuk terus meneroka kaedah pembelajaran yang lebih dinamik, kreatif dan berimpak tinggi.

“Semoga UUM terus melahirkan graduan yang mampu bersaing di persada global dan kejayaan seumpama ini akan berterusan pada masa akan datang,” tuturnya.

Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Terdahulu, anugerah AKRI adalah pengiktirafan tertinggi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertujuan menghargai usaha inovatif dalam reka bentuk kurikulum dan penyampaian pengajaran yang memberi impak besar kepada dunia pendidikan tinggi di Malaysia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok