Zambry (tengah) merasmikan Konvensyen Akademia 2024 anjuran Akademi Profesor Malaysia (APM) di Dewan Za'ba, KPT.
Zambry (tengah) merasmikan Konvensyen Akademia 2024 anjuran Akademi Profesor Malaysia (APM) di Dewan Za'ba, KPT.

Kepengerusian ASEAN: KPT rangka agenda perkukuh kerjasama pendidikan tinggi

21 Oct 2024 01:00pm

Menjelang Kepengerusian ASEAN 2025, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah merancang pelbagai agenda dan program bagi memperkukuh kerjasama berkaitan pendidikan tinggi dengan negara luar.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata hal itu termasuk mesyuarat khas bersama menteri-menteri pendidikan tinggi kerana lazimnya mesyuarat hanya tertumpu kepada aspek pendidikan melibatkan Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO).

"Kebanyakan negara ASEAN menerima cadangan Malaysia untuk mengkhususkan perbincangan dalam konteks pendidikan tinggi dalam ASEAN. Sebelum ini, seperti yang kita sedia maklum ia hanya tertumpu kepada SEAMEO semata-mata.

"Jadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah minta supaya kita (KPT) aturkan program itu supaya ada mesyuarat khas yang berkaitan dengan pendidikan tinggi juga melibatkan menteri (pendidikan tinggi) dari negara ASEAN," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Konvensyen Akademia 2024 anjuran Akademi Profesor Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya Zambry menekankan kepentingan penglibatan setiap institusi pengajian tinggi dalam negara untuk menjayakan agenda Kepengerusian ASEAN secara menyeluruh.

"Sebagai seorang yang pernah menjadi Menteri Luar, saya dapat lihat secara luas mengenai pandangan yang bakal diutarakan ketika Kepengerusian ASEAN.

"Saya juga telah maklumkan kepada Kementerian Luar agar agenda pendidikan tinggi dijadikan keutamaan dan semua warga akademia harus jayakan misi kita ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 yang berlangsung bersama-sama Sidang-Sidang Kemuncak berkaitan dan Majlis Penyerahan Jawatan Pengerusi ASEAN di Vientiane.

Tugas Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bermula secara rasmi pada 1 Jan 2025. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp