Kerjasama Taylor's University, TES Institute buka peluang pendidikan peringkat global
Taylor’s University telah menjalin kerjasama eksklusif dengan TES Institute yang terkenal untuk menawarkan Laluan Penilaian khas ke Program International Qualified Teaching Status (iQTS).
Taylor’s University merupakan satu-satunya institusi di Malaysia yang bekerjasama dengan penyedia pendidikan terkemuka dari United Kingdom (UK) menawarkan pensijilan berprestij ini.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kemahiran dan kelayakan pendidik di peringkat tempatan dan antarabangsa, mencerminkan komitmen teguh Taylor’s University dalam memajukan kecemerlangan pendidikan dan menyokong pertumbuhan profesional guru-guru.
Program ini terbuka kepada komuniti Taylor’s termasuk alumni, pelajar semasa serta kakitangan pengajar di sekolah-sekolah Taylor’s yang memenuhi syarat memiliki ijazah sarjana muda dan sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman mengajar dalam kurikulum Bahasa Inggeris.
Melalui kelayakan ini di Taylor's University, calon-calon memperoleh iQTS dalam masa tiga bulan sahaja dan memberi peluang untuk menceburi kerjaya pengajaran di peringkat antarabangsa.
Ketua Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Taylor's University, Dr Logendra Stanley Ponniah berkata, pensijilan yang diiktiraf oleh pihak Britain ini, memberikan kelebihan yang ketara bagi calon-calon yang ingin menceburi kerjaya pengajaran di UK dan di peringkat global.
Katanya, ia menawarkan daya saing yang tinggi dalam pasaran pekerjaan yang kompetitif, membuka lebih banyak peluang kerjaya di arena antarabangsa.
“Kami percaya dalam memupuk bakat dan menetapkan penanda aras kecemerlangan pendidikan di tahap global.
“Kerjasama eksklusif ini dengan TES Institute bukan sahaja meningkatkan kelayakan profesional pendidik kami tetapi juga membuka pintu kepada peluang pengajaran di peringkat global.
"Kerjasama kami dengan TES Institute menekankan dedikasi kami untuk menyediakan sumber dan sokongan pendidikan bertaraf dunia kepada komuniti," katanya.
Untuk rekod, iQTS yang mendapat pengiktirafan Jabatan Pendidikan UK merupakan profesional berprestij yang wajib untuk pengajaran di negara itu termasuk ntarabangsa.
Ia boleh dilengkapkan dalam tempoh 12 minggu, di mana guru dikehendaki menyediakan portfolio dengan bukti amalan yang baik untuk menunjukkan mereka memenuhi piawaian guru.