Fenomena El- Nino menjejaskan pengeluaran tanaman padi. Gambar kecil: Muhammad Firdaus.
Fenomena El- Nino menjejaskan pengeluaran tanaman padi. Gambar kecil: Muhammad Firdaus.

Kesan tanah padi pada musim panas

04 Mar 2024 08:15am
A
A
A

Beras merupakan barangan ruji dan ia adalah makanan asas rakyat Malaysia.

Namun, fenomena El- Nino yang kini sedang melanda Malaysia sedikit sebanyak menjejaskan pengeluaran tanaman padi yang memerlukan sumber air banyak dan mengubah struktur tanah yang memberi kesan hasil pengeluaran padi negara.

Pensyarah Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Firdaus Sulaiman berkata, kekurangan bekalan air akan menjejaskan hasil padi kerana air bukan sahaja penting untuk proses fisiologi pokok padi malah membantu untuk mengawal rumpai dan penyakit.

“Cuaca panas dan kekurangan air dalam tanah akan menyebabkan tekanan pada pokok padi dan apabila pokok padi mengalami tekanan ia akan menjejaskan pertumbuhan pokok sekali gus hasil terjejas sama,” tuturnya.

Beliau berkata, terdapat beberapa langkah dalam mengatasi masalah ini, antaranya menjalankan program pembiakbakaan bagi menghasilkan varieti padi lebih rintang terhadap suhu tinggi dan yang tidak memerlukan penggunaan air banyak.

“Salah satu kaedah yang boleh diamalkan oleh pengusaha sawah padi untuk mengurangkan penggunaan air adalah kaedah pengeringan dan pengairan bergantian (alternate wetting and drying) dan pengeringan pertengahan musim (mid-season drainage).

“Perbezaan kaedah pengeringan dan pengairan bergantian adalah di mana petak sawah tersebut akan dibiar untuk mengering sehingga paras air tanah berada pada para 15 cm dari permukaan tanah dan kemudiannya petak sawah akan diairi semula.

“Kitaran ini akan berulang sehingga waktu menuai dan hanya dihentikan seketika sewaktu peringkat pembentukan bunga padi,” jelasnya dengan menambah kajian dijalankan UPM dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati penggunaan kedua-dua kaedah itu dapat mengurangkan penggunaan air dan tidak menjejaskan pertumbuhan padi serta pengeluaran hasil.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhammad Firdaus yang mempunyai kepakaran dalam kesuburan dan pengurusan tanah berkata, kefahaman sifat tanah adalah penting untuk menyesuaikan jenis tanah dengan tanaman serta kaedah pengurusan tanah yang baik.

“Dari sudut pertanian tanah bukan sahaja membekalkan air dan unsur nutrien yang diperlukan oleh tanaman malah merupakan tapak sokongan bagi akar tanaman menampung berat jisim tanaman tersebut.

“Tidak semua jenis tanah sesuai untuk semua jenis tanaman dan tanah yang tinggi kandungan lempung dan mempunyai topografi rata sangat sesuai untuk penanaman padi.

“Tanah yang sama tidak sesuai untuk tanaman pokok durian kerana kedua-dua tanaman mempunyai keperluan air berbeza,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata, nutrien yang diperlukan bagi tanah padi adalah seperti tanaman lain iaitu memerlukan 16 unsur kimia untuk memberikan hasil terbaik.

Ujarnya, dari 16 unsur tersebut, 13 unsur perlu dibekalkan melalui pembajaan sekiranya kandungan unsur di dalam tanah tidak mencukupi bagi keperluan pokok padi dan keasidan tanah yang tinggi akan merencat kesediaan unsur dalam tanah untuk diserap pokok padi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok