Pelbagai aktiviti menarik diikuti peserta sepanjang mereka menyertai Program Kolaborasi Dua Hala baru-baru ini.
Pelbagai aktiviti menarik diikuti peserta sepanjang mereka menyertai Program Kolaborasi Dua Hala baru-baru ini.

Kolaborasi KKJ dan Thailand perkukuh pendidikan akuakultur, TVET serantau

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
14 Jul 2025 01:40pm

Kolej Komuniti Jerantut (KKJ), Pahang terus memperkukuh jaringan antarabangsa melalui pelaksanaan Program Kolaborasi Dua Hala (Bilateral Program) bersama Tinsulanonda Fisheries College (TFC), Songkhla, Thailand baru-baru ini.

Program bertemakan Bridging Cultures and Knowledge through Aquaculture and Community Collaboration itu merupakan kesinambungan kerjasama antara kedua-dua institusi yang telah terjalin sejak tahun 2016 khusus dalam bidang akuakultur, pembangunan komuniti dan kelestarian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut kenyataan media yang dihantar kepada Sinar Bestari, seramai 18 orang delegasi KKJ diketuai Pengarahnya, Azad Muslim Muhammad telah menyertai program itu. Mereka ialah pensyarah dan pelajar program Teknologi Akuakultur dan Pemprosesan Makanan.

No Image Caption

Sepanjang lima hari berada di Songkhla, delegasi Malaysia terlibat dalam pelbagai aktiviti pendidikan dan komuniti yang menggabungkan elemen teknikal, budaya dan kelestarian.

Antara aktiviti utama termasuk lawatan industri ke ladang ternakan udang vannamei dan ikan siakap di sekitar Songkhla; demonstrasi makanan tradisional dua negara; aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bahasa Inggeris melalui English Treasure Hunt bersama pelajar Thailand dan plogging di Pantai Maharaj.

Kemuncak program menyaksikan majlis menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent - LOI) antara KKJ dan TFC yang ditandatangani Azad Muslim dan Timbalan Pengarah TFC, Kornwika Sriwattanavaranyu.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Majlis ini menjadi simbolik komitmen kedua-dua pihak dalam meneruskan kolaborasi dua hala khususnya dalam aspek pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan komuniti serantau.

Menariknya, hasil udang daripada kolam ternakan TFC turut disajikan semasa Majlis Grand Dinner bersama delegasi Malaysia di Restoran Dimsum Chabura, memperlihatkan nilai penghasilan tempatan yang berimpak tinggi dalam sektor perikanan.

Menurut Azad Muslim, penglibatan pelajar dalam program rentas sempadan ini membuka peluang pembelajaran secara langsung dalam persekitaran sebenar industri, selain memperkukuh jaringan antarabangsa yang bermanfaat untuk masa depan mereka.

No Image Caption

"Program ini memberi pendedahan global yang sangat bernilai, bukan sahaja dalam aspek teknikal, tetapi juga pertukaran budaya, teknologi dan amalan terbaik dalam pendidikan TVET.

"Malah ia turut menyokong pelaksanaan Dasar SmartGreen PolyCC dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) melalui amalan mesra alam, pelibatan komuniti, serta penekanan terhadap tanggungjawab sosial dan kelestarian alam sekitar," katanya.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp