
Kolaborasi UniMAP - PDRM perkukuh kesedaran keselamatan komuniti
Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dengan kerjasama unit khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amanita PDRM Perlis, telah menganjurkan satu program bagi memperkasakan golongan wanita dalam usaha membantu pencegahan jenayah serta memperkukuh keselamatan komuniti di negeri ini.
Program yang berlangsung di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Sena itu melibatkan 70 peserta terdiri daripada wanita, suri rumah dan pelajar.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan diri, keselamatan keluarga serta peningkatan kesedaran terhadap jenayah di peringkat komuniti.
Mewakili PDRM, Deputi Superintenden Mardiana Ismail Rudin berkata, inisiatif Amanita atau Peace Lady bertujuan menghubungkan pegawai polis wanita dengan masyarakat setempat, khususnya golongan wanita, bagi memainkan peranan mendidik, membimbing serta mengubah persepsi terhadap jenayah.
"Peace Lady merupakan satu inisiatif PDRM dalam usaha mengurangkan kadar jenayah melalui pendekatan pencegahan dan penglibatan komuniti,” katanya.
Antara pengisian program termasuk ceramah keselamatan, aktiviti senamrobik serta simulasi yang menekankan kaedah mengenal pasti jenayah, melaporkan aktiviti mencurigakan dan menjalin kerjasama dengan PDRM bagi membendung jenayah di peringkat komuniti.
Program berkenaan dirasmikan Profesor Madya Ts Dr Mohammad Harith Amlus, yang menjalankan fungsi Timbalan Dekan, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi UniMAP manakala sesi perkongsian utama disampaikan Mardiana selaku Pengerusi Amanita PDRM Perlis.
Sementara itu, Dr Mohammad Harith berkata, penganjuran program seumpama ini mencerminkan komitmen universiti untuk mendekati masyarakat melalui kerjasama strategik dengan pelbagai agensi, selain memberi pendedahan praktikal kepada pelajar.
"Universiti sentiasa menyantuni masyarakat dan berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan sosial serta keselamatan komuniti," katanya.
Menurutnya, UniMAP melalui Fakulti Perniagaan dan Komunikasi merancang menganjurkan lebih banyak program melibatkan golongan wanita di negeri Perlis dengan kerjasama PDRM bagi memastikan usaha pencegahan jenayah dan keselamatan komuniti dapat dilaksanakan secara berterusan dan berkesan.
Ringkasan AI
- Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis dan unit khas Polis Diraja Malaysia Amanita menganjurkan program pencegahan jenayah untuk golongan wanita di Perlis
- Program diadakan di Projek Perumahan Rakyat Sri Sena dengan 70 peserta termasuk wanita, suri rumah, dan pelajar
- Fokus program kepada keselamatan diri, keluarga dan peningkatan kesedaran jenayah dalam komuniti
- Inisiatif Peace Lady bertujuan menghubungkan pegawai polis wanita dengan masyarakat untuk pendidikan dan perubahan persepsi terhadap jenayah
- UniMAP berkomitmen mendekati masyarakat dengan kerjasama agensi lain dan merancang lebih banyak program untuk wanita di Perlis bagi memperkuat usaha pencegahan jenayah dan keselamatan komuniti