Usaha pencegahan rasuah melalui pendedahan kepada golongan mahasiswa akan menghasilkan generasi belia yang adil dan berintegriti.
Usaha pencegahan rasuah melalui pendedahan kepada golongan mahasiswa akan menghasilkan generasi belia yang adil dan berintegriti.

Konvensyen AMAR 2024 perkasa antirasuah kalangan mahasiswa

MOHD ANAS BAHARUDIN
01 Jul 2024 05:30pm
A
A
A

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat, Agrobank dan Faiza Sdn Bhd telah menganjurkan program bertemakan ‘Mahasiswa Bermaruah Memartabat Negara’ pada Konvensyen Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) kali ke-9 Tahun 2024 di Kem Permata Resort, Alor Gajah Melaka, baru-baru ini.

Ia selaras dengan hasrat SPRM untuk menjadikan golongan pelajar dan belia sebagai 'key-communicator' bagi mendapatkan maklumat mengenai antirasuah, medan berkongsi pendapat selain bersama-sama menggembleng tenaga dengan SPRM bagi membanteras rasuah serta mewujudkan masyarakat yang menolak rasuah.

Tiga resolusi telah dicapai oleh para peserta Konvensyen AMAR kali ini iaitu Mewujudkan Pelan Strategik Pemerkasaan AMAR 2025-2027, Melebarkan Penubuhan AMAR Di Politeknik dan Kolej Komuniti, dan Memperkasakan Kolaborasi Bersama Rakan Strategik.

Seramai 126 peserta dalam kalangan pemimpin 12 AMAR Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), 27 AMAR Institut Pendidikan Guru (IPG), 31 buah AMAR Institusi Pendidikan Mara (IPMa) dan 12 buah institut pendidikan tinggi swasta (IPTS) telah menghadiri konvensyen kali ini yang melibatkan sesi ceramah, dialog, pembentangan serta diskusi oleh pimpinan AMAR dengan ahli panel berpengalaman luas dalam pengurusan AMAR.

Pada majlis sama, sebanyak empat AMAR institusi pengajian tinggi (IPT) dipilih sebagai IPT terbaik iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) bagi Universiti Awam Terbaik; Universiti Teknologi Petronas (UTP) (Universiti Swasta Terbaik); Institut Pendidikan Guru Kota Bharu (Institut Pendidikan Guru Terbaik) dan Institut Kemahiran Mara Kuching (Institut Pendidikan Mara Terbaik).

Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Timbalan Pesuruhjaya, Nazli Rasyid Haji Sulong.

Hadir sama ialah Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Saiful Rizal Abdul Ghani dan Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Pembangunan Insaniah, Pusat Hal Ehwal Pelajar, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Lailati Mohd Nor.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok