Suasana Majlis Konvokesyen KPJU kali ke-26 yang berlangsung penuh istiadat.
Suasana Majlis Konvokesyen KPJU kali ke-26 yang berlangsung penuh istiadat.

Konvokesyen KPJU dan Kolej KPJ rai 1,088 graduan

KPJU teruskan kecemerlangan menyediakan pendidikan kesihatan

AISYAH BASARUDDINAISYAH BASARUDDIN
13 Nov 2024 09:00am

KPJ Healthcare University (KPJU) dan Kolej KPJ meneruskan kecemerlangan dalam menyediakan pendidikan kesihatan di negara ini apabila seramai 1,088 pelajar diraikan pada Majlis Konvokesyen KPJU tahun ini.

Canselor KPJU, Profesor Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, KPJU berbangga dengan segala usaha, dedikasi dan ketekunan pelajar yang akhirnya membawa kepada kejayaan.

Menurut beliau, konvokesyen pada tahun ini juga dianggap bersejarah kerana buat julung kalinya KPJU menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Profesor Datuk Dr Azizi Omar sebagai penghargaan kepakaran serta sumbangan beliau kepada masyarakat.

“Majlis konvokesyen ini boleh dianggap permulaan perjalanan ke alam pekerjaan dalam memberikan sumbangan bermakna kepada sistem kesihatan negara.

“Sebagai graduan KPJU, fokus utama adalah bidang perubatan kesihatan. Anda harapan pesakit dan masyarakat dalam memberikan rawatan dengan cekap, profesional, prihatin serta penuh kasih sayang.

“KPJU telah menyediakan pelajar dengan asas yang kukuh dan tiba masanya untuk menyumbangkan pengetahuan serta kemahiran kepada masyarakat bukan sahaja di negara ini, malah di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Konvokesyen KPJU ke-26 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Naib Canselor KPJU, Profesor Emeritus Datuk Dr Lokman Saim; Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi KPJU, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim; Ahli Lembaga Pengarah KPJU dan pengurusan tertinggi.

Artikel Berkaitan:

Majlis konvokesyen yang disambut penuh gemilang itu meraikan graduan KPJU termasuk Kolej KPJ Healthcare Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Sementara itu, Lokman berpandangan, meskipun ada antaranya memulakan pengajian ketika pandemik Covid-19 melanda dan kaedah pembelajaran dilakukan secara maya, ia tidak menjadi halangan buat pelajar untuk mengharungi cabaran sedemikian.

Tambahnya, difahamkan ramai graduan terpaksa melanjutkan pengajian satu semester tambahan demi memenuhi keperluan yang ditetapkan Lembaga Jururawat Malaysia (LJM) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Kepada ibu bapa, terima kasih kerana bersabar dan memahami keadaan yang kita sama-sama lalui demi memastikan pendidikan berkualiti dan terbaik kepada anak-anak.

“Alhamdulillah, tempoh pengajian yang terkesan akibat Covid-19 berakhir.

“Semoga cabaran ini memberi tauladan bermanfaat dan menjadikan anda semua kuat mengharungi alam pekerjaan serta kehidupan dengan lebih berjaya,” ujarnya.

Profesor Emeritus Datuk Dr Lokman Saim berucap ketika Majlis Konvokesyen KPJU ke-26 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa.
Profesor Emeritus Datuk Dr Lokman Saim berucap ketika Majlis Konvokesyen KPJU ke-26 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa.

Empat graduan terima penganugerahan tertinggi

Sementara itu, seramai empat graduan KPJU menerima penganugerahan tertinggi sempena Majlis Konvokesyen KPJU ke-26 pada tahun ini.

Ia bagi menghargai pencapaian pelajar terpilih yang konsisten menunjukkan kecemerlangan dari aspek akademik, kepimpinan dan kokurikulum sekali gus mengharumkan nama KPJU di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Penerima Anugerah Khas Canselor, Puteri Iffah Irdina Izrul Syahryll berkata, dia tidak menyangka memperoleh pengiktirafan sebegitu memandangkan banyak perkara dikorbankan dari segi tenaga dan masa, namun bersyukur ia membuahkan hasil lumayan.

Menurut anak jati Kedah itu, terlalu banyak cabaran ditempuhi sepanjang tempoh tiga tahun pengajian, lebih-lebih lagi dengan berita pemergian ayahanda tercinta yang masih berbekas dalam ingatan.

“Bagi saya, anugerah ini menjadi cabaran kepada pelajar. Jika mahukan pengiktirafan sebegini, memang memerlukan pengorbanan masa dengan kawan, diri sendiri dan keluarga.

“Banyakkan bersabar dan ambil ini sebagai satu cabaran untuk berjaya,” katanya ketika pemberita pada Selasa.

Penerima Anugerah Khas Naib Canselor, S Vinnashini, 31, memberitahu, dia berbangga apabila penat lelah menghabiskan pengajian secara separuh masa bagi memperoleh ijazah Sarjana Sains Teknologi Farmaseutikal.

Tambah S Vinnashini yang kini berkhidmat di sebuah syarikat farmaseutikal ternama, penganugerahan tersebut boleh dijadikan batu loncatan dalam mengembangkan karier berbekalkan tujuh tahun pengalaman bekerja.

“Saya berterima kasih kepada ibu bapa kerana mereka banyak berkorban. Jadi inilah yang mampu dibalas semula kepada mereka.

“Nasihat saya kepada pelajar lain, apabila melakukan sesuatu perkara perlu ada sasaran yang ingin dicapai,” ujarnya yang merupakan anak kelahiran Klang, Selangor.

Bagi penerima Anugerah Khas Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, Nurismah Sabrina Akmal berkata sejak hari pertama melangkah masuk ke universiti, dia sudah memasang tekad untuk merangkul salah satu anugerah utama KPJU.

“Saya hanya mahu anugerah tertinggi tetapi disenarai pendek sebagai penerima anugerah khas ini, alhamdulillah.

“Saya merancang untuk mencari kerja dan mengumpul duit terlebih dahulu. Saya mahu menyambung pengajian pasca siswazah dan bergelar pakar psikologi klinikal suatu hari nanti,” katanya yang berusia 23 tahun.

Graduan KPJU pada Majlis Konvokesyen KPJU ke-26 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Graduan KPJU pada Majlis Konvokesyen KPJU ke-26 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Sementara itu, penerima anugerah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, R Mathanagopal, 27, memaklumkan, dia sejujurnya tidak menyangka namanya terpampang pada skrin pentas semasa sesi penyampaian anugerah khas kerana disenarai pendek sebagai calon sahaja sudah memadai.

“Saya terharu apabila diberi anugerah khas ini. Sebagai pemegang ijazah Sarjana Muda Farmasi, saya baharu selesai mengisi kekosongan dalam Sistem Perkhidmatan Awam (SPA) untuk berkhidmat dalam jabatan kerajaan.

“Apa pun, nasihat saya adalah aktifkan diri dengan kokurikulum atau program universiti sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan di luar sana,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp