Gambar hiasan - Kredit foto unspalsh
Gambar hiasan - Kredit foto unspalsh

KPT komited capai Belanjawan 2023 Membangun Malaysia MADANI

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
25 Feb 2023 01:49pm

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik dan menyokong Belanjawan 2023 bertemakan Membangun Malaysia MADANI.

Dalam satu kenyataan media, KPT komited dalam usaha membantu kerajaan mencapai hasrat Belanjawan 2023 melalui pelaksanaan inisiatif dan program yang memberi manfaat kepada pemegang taruh KPT serta komuniti dan masyarakat.

Selain itu, KPT turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan terhadap agenda pendidikan tinggi negara dengan peningkatan peruntukan sebanyak 5.7 peratus berbanding tahun lalu melibatkan RM15.3 bilion.

"Ia merangkumi RM11.7 bilion bagi perbelanjaan mengurus manakala perbelanjaan pembangunan ialah RM3.6 bilion.

"Perbelanjaan Pembangunan KPT menunjukkan peningkatan sebanyak 22.9 peratus iaitu RM671 juta.

"Justeru, fokus KPT bagi tahun ini untuk menambah baik fasiliti institut pengajian tinggi awam (IPTA) bagi memastikan infrastruktur, bangunan dan peralatan berada dalam keadaan kondusif, selamat serta berfungsi dengan efisien sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak RM436 juta dikhususkan kepada membaik pulih infrastruktur dan menggantikan peralatan usang yang tidak lagi ekonomik di IPTA," kata kenyataan itu lagi.

Dalam mentransformasi pendidikan tinggi melalui teknologi alaf baru, katanya, KPT juga akan memberi tumpuan kepada agenda pendigitalan dalam aspek pengurusan, pendidikan, pembelajaran dan perkhidmatan.

Ujarnya lagi, ia untuk memberi manfaat kepada para penyelidik, ahli akademik dan pelajar-pelajar di institut pengajian tinggi (IPT).

"Dana sebanyak RM35 juta akan digunakan untuk meningkatkan kesalinghubungan internet di IPTA di bawah program Malaysian Research & Education Network (MYREN).

"Usaha pendigitalan ini diharap mampu memperluas akses pembelajaran berkualiti yang inovatif, fleksibel dan bertaraf global kepada semua pemegang taruh tanpa mengira lokasi.

"KPT juga akan memperkasa agenda penyelidikan dalam menjadikan negara sebagai pusat ilmu yang unggul melalui peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebanyak RM428 juta yang diperuntukkan kepada KPT dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)," jelasnya.

Katanya, dengan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta untuk melaksanakan penyelidikan translasional, KPT akan menterjermahkan penyelidikan translasional kepada penghasilan nyata untuk manfaat kerajaan, komuniti, industri dan akademia.

Inisiatif-inisiatif Belanjawan 2023 yang akan menjadi tumpuan KPT

1. Diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN selama tiga bulan bermula 1 Mac 2023 sehingga 20 peratus.

2. Permohonan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan boleh dibuat mulai 1 Mac 2023.

3. Menyokong Kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah RM200 seorang bagi belia 18 hingga 20 tahun di bawah KPT

4. Kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) peneraju untuk mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya operasi institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) seperti kolej komuniti bagi menyediakan program latihan yang memenuhi keperluan mereka.

5. Mengeratkan kerjasama dengan industri melalui pengukuhan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dengan peruntukan berjumlah RM50 juta untuk manfaat lebih 8,000 pelatih.

6. Menawarkan kepakaran dan perkhidmatan Hospital Pengajar Universiti bagi membantu isu kesesakan kemudahan kesihatan di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp