GITC 2023: Pasukan Malaysia bawa pulang empat pingat
Pelajar Tingkatan Empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud Iskandar, Sungai Mati, Johor, Muhammad Iman Nordin terpilih mewakili Malaysia dalam Pertandingan Global Information Technology Challenge For Youth Disabilities (GITC) 2023 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Muhammad Iman dan beberapa wakil pelajar negara berjaya membawa pulang empat pingat merangkumi dua emas dalam acara kumpulan Smart Car dan eContent Video; perak acara IOT dan gangsa acara eTool Presentation.
Muhammad Iman yang berasal dari Johor berkata, pencapaian di GITC 2023 sememangnya mengejutkan apatah lagi dia merupakan pelajar kategori orang kurang upaya.
“Saya didiagnosis degenerasi makula iaitu keadaan di mana penglihatan pusat hilang kerana kerosakan pada makula (bahagian pusat retina) akibat penyakit mata kronik.
“Bagaimanapun, saya tidak jadikan kekurangan ini sebagai halangan untuk berjaya. Saya bangkit untuk melakar kecemerlangan dalam pertandingan dan inilah hasilnya,” ujarnya kepada Sinar Bestari.
GITC 2023 yang disertai 1700 pelajar dari 18 negara merupakan sebuah pertandingan membabitkan penguasaan pelajar dalam teknologi maklumat.
Ia memberi peluang kepada bakat-bakat muda mengetengahkan kebolehan diri merangkumi arena teknologi.
Sementara itu, ibu Muhammad Iman iaitu Nor Zakiah Atan bangga dan gembira dengan pencapaian anaknya di pertandingan tersebut.
“Setiap anak ada potensi dan kelebihan yang tersendiri. Sebagai ibu, saya akan tetap menyokong apa sahaja yang dilakukan demi kebaikan Muhammad Iman,” jelasnya.