KPT lancar MySISWAPLACE, platform digital kebajikan mahasiswa IPT
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Yayasan Perkasa Siswa (YPS) memperkenalkan portal digital MySISWAPLACE sebagai usaha berterusan memperkasakan mahasiswa seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, portal digital ini berfungsi sebagai platform untuk memperluaskan akses bantuan kebajikan dan geran bagi mahasiswa dengan lebih efisian serta pantas.
“Saya berharap dengan adanya MySISWAPLACE ini membantu pelajar-pelajar bukan hanya bagi tempoh masa kini tetapi untuk satu tempoh jangka panjang.
“Ia kerana, kita sudah ada platform yang boleh digunakan untuk memastikan sebarang bentuk perkhidmatan dapat disampaikan kepada pelajar-pekajar.
“Ia akan menjadi seperti one stop centre bagi mahasiswa sekalian,” katanya ketika berucap merasmikan portal MySISPWAPLACE di Lobi KPT pada Rabu.
Selain itu, melalui MySISWAPLACE juga mahasiswa institusi pendidikan tinggi (IPT) kini boleh mendapatkan bantuan secara dalam talian termasuklah Baucar Buku Madani bernilai RM100 yang boleh ditebus bermula 30 Oktober hingga 31 Disember 2024.
Portal MySISWAPLACE juga sebahagian daripada komitmen KPT untuk mewujudkan ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif dan mesra digital.
Dalam portal ini, mahasiswa dapat menikmati pelbagai kemudahan dengan pantas, selaras matlamat YPS untuk memastikan tidak ada mahasiswa yang tercicir dari mendapatkan bantuan, terutama bagi mereka yang berkeperluan.