Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Kredit foto: FB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Kredit foto: FB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KPT perkenal Menu Siswa Rahmah di 20 UA, politeknik seluruh negara

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAINFIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
29 Mar 2023 12:46pm

Sebagai tanda sokongan kepada usaha kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat terutamanya golongan mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah memperkenalkan Menu Siswa Rahmah yang dijual pada harga RM3.50.

Menu tersebut boleh didapati di 20 Universiti Awam (UA) serta semua politeknik di seluruh negara yang berada di bawah KPT.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Menu Siswa Rahmah yang diperkenalkan KPT itu bakal memanfaatkan seramai 320,000 mahasiswa daripada keluarga B40.

Jelas Mohamed Khaled, kementerian sentiasa menyokong serta berusaha untuk menyampaikan bantuan yang sewajarnya kepada pelajar-pelajar daripada keluarga B40 bagi memastikan mereka tidak tercicir ketika melanjutkan pengajian kerana kesusahan dan keperitan hidup yang dihadapi.

“KPT telah mendapat komitmen penyertaan daripada semua 20 universiti dan politeknik yang melibatkan 235 gerai dengan pelbagai menu pada harga RM3.50.

“Pembabitan serta sokongan yang diberikan gerai-gerai terlibat dalam program Menu Rahmah ini secara tidak langsung sedikit sebanyak dapat membantu menangani kos sara hidup dihadapi mahasiswa,” ujarnya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.

Dalam pada itu, jelas Mohamed Khaled, inisiatif Menu Siswa Rahmah tersebut berjaya disediakan kerana UA memutuskan untuk tidak mengenakan kos penyewaan gerai kepada peniaga.

Tuturnya, dengan tiada kadar sewa yang dikenakan pengusaha gerai boleh mengurangkan harga makanan untuk dijual kepada mahasiswa.

Artikel Berkaitan:

“UA dan politeknik bagaimanapun masih menyediakan hidangan Menu Rahmah yang berharga RM5 kepada mereka yang berkemampuan.

“Token akan disediakan kepada mahasiswa oleh UA dan politeknik bagi membezakan kumpulan pelajar yang layak untuk membeli Menu Siswa Rahmah,” ujar Mohamed Khaled.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp