KPT turut beri fokus gilap potensi mahasiswa dalam bidang sukan - Ketua Setiausaha KPT
Fokus sektor pendidikan tinggi negara dalam pembangunan bakat mahasiswa tidak hanya terhad kepada kecemerlangan akademik, sumbangan kepada masyarakat atau kolaborasi industri sahaja tetapi turut melibatkan usaha untuk mencungkil serta menggilap potensi mereka dalam bidang sukan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar berkata, pelbagai kisah kejayaan para atlet dari institut pendidikan tinggi (IPT) di pentas global telah membuktikan dasar dan hala tuju kementerian itu kini berada di landasan terbaik dalam memacu ekosistem kecemerlangan sukan demi mengharumkan nama negara.
“Penyertaan mahasiswa daripada 14 buah kontinjen dalam Karnival Sukan Mahasiswa ke-28 (KARiSMA’28) ini membuktikan bahawa mereka memanfaatkan masa lapang dengan aktiviti yang sihat dan berfaedah.
“Ia juga mampu memupuk keterampilan mahasiswa dari aspek akademik serta sahsiah diri mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan KARiSMA’28 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang.
Hadir sama ke majlis perasmian berkenaan, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Hajah Roziah Mohd Janor dan barisan pengurusan tertinggi UiTM yang lain.
KARiSMA’28 menjadi medan persaingan kepada 2,622 atlet UiTM untuk bertanding bagi merebut 1,278 pingat dari 42 kategori sukan dan permainan.
Ia berlangsung pada 20 hingga 27 September dengan UiTM Pulau Pinang sebagai tuan rumah buat edisi kali ini.
Sementara itu, pada majlis yang sama juga, Abdul Razak turut meluncurkan sistem Sports Championship Management System (SCMS) hasil inovasi warga UiTM yang bertindak sebagai pelantar rasmi kepada pengurusan dan penyampaian maklumat sepanjang penganjuran KARiSMA’28 ini.
Malah, beliau turut mengingatkan kepada warga universiti berkenaan akan saranan Menteri KPT agar IPT menggunakan secara optimum dan strategik segala lapangan ilmu yang dimiliki dalam membangunkan sektor sukan negara secara holistik.