No Image Caption

KPT utamakan keselamatan, kebajikan pelajar Malaysia & Indonesia terkesan bencana

12 Dec 2025 02:45pm

Di sebalik jarak beribu kilometer dan keluarga yang menunggu dengan penuh risau di tanah air masing-masing, ratusan pelajar Malaysia dan Indonesia kini berdepan detik getir apabila bencana yang melanda Aceh dan Sumatera Utara menjejaskan kehidupan mereka.

Dalam situasi penuh cemas itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tampil menyatakan komitmen untuk memastikan tiada pelajar terbiar tanpa bantuan, walau di mana mereka berada.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, KPT sedang menyelaras proses pendaftaran dan penyaluran bantuan segera sebanyak RM500 seorang kepada pelajar Indonesia di Malaysia yang terkesan, selaras pengumuman kerajaan.

Beliau berkata, keprihatinan ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi tanda persaudaraan dua negara jiran yang berkongsi sejarah, budaya dan hubungan kekeluargaan yang rapat.

“Semua proses akan dilaksanakan secara teratur bagi meringankan beban yang ditanggung mereka,” katanya.

Namun, perhatian KPT tidak terhenti di situ.

Di Aceh, terdapat pelajar Malaysia yang turut berhadapan suasana mencabar, jauh daripada keluarga ketika bencana melanda. Zambry menegaskan bahawa kebajikan pelajar Malaysia di Aceh juga menjadi fokus utama, termasuk bantuan kewangan RM500 seorang serta sokongan tambahan mengikut keperluan semasa.

KPT kini sedang bekerjasama rapat dengan Education Malaysia (EM) di Indonesia, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan senarai lengkap pelajar Malaysia di Aceh serta menilai tahap keperluan mereka satu per satu.

Semangat kepedulian, katanya, adalah tunjang kepada setiap tindakan yang diambil Kerajaan Madani.

Artikel Berkaitan:

Dalam nada penuh harapan, Zambry turut mendoakan keselamatan semua pelajar Malaysia serta rakyat Indonesia yang terkesan — agar mereka diberikan kekuatan menghadapi ujian yang tidak diduga ini.

Ringkasan AI

  • Pelajar Malaysia dan Indonesia berdepan detik getir di Aceh dan Sumatera Utara
  • Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkomitmen memastikan tiada pelajar terbiar tanpa bantuan
  • Pelajar Indonesia di Malaysia akan menerima bantuan segera sebanyak RM500 seorang
  • KPT juga memberi perhatian kepada pelajar Malaysia di Aceh dengan bantuan kewangan dan sokongan tambahan
  • KPT bekerjasama dengan Education Malaysia (EM) di Indonesia, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan senarai pelajar dan menilai keperluan mereka
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp