Program bertemakan A Heart for ASEAN: Empowering Youth, Embracing Unity itu bukan sekadar lawatan akademik biasa, tetapi satu usaha gigih membantu komuniti kampung adat di Indonesia sambil mengukuhkan semangat perpaduan ASEAN.
Program bertemakan A Heart for ASEAN: Empowering Youth, Embracing Unity itu bukan sekadar lawatan akademik biasa, tetapi satu usaha gigih membantu komuniti kampung adat di Indonesia sambil mengukuhkan semangat perpaduan ASEAN.

Program kesukarelawanan Casuarajawali 2025 perkukuh hubungan Malaysia-Indonesia

12 Sep 2025 10:43am

Kira-kira 20 mahasiswa Kolej Kediaman Casuarina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam berjaya melaksanakan misi kemanusiaan merentas sempadan menerusi Program Casuarajawali 2025 ke Jakarta dan Bandung yang berlangsung selama tujuh hari.

Program bertemakan A Heart for ASEAN: Empowering Youth, Embracing Unity itu bukan sekadar lawatan akademik biasa, tetapi satu usaha gigih membantu komuniti kampung adat di Indonesia sambil mengukuhkan semangat perpaduan ASEAN.

Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Casuarina, Afiq Luqman Bahari berkata, program tersebut menggunakan pendekatan knowledge transfer yang memberi impak langsung kepada masyarakat tempatan.

"Kami berkongsi kemahiran teknologi maklumat dan konsep keusahawanan sosial dengan komuniti di sana. Ini bukan sekadar program akademik, tetapi satu usaha murni membantu sesama komuniti ASEAN," katanya.

Aktiviti kreatif dan inovatif

Program Casuarajawali 2025 melibatkan 170 murid Sekolah Dasar Negeri (SDN) Cireundeu dan 24 peserta Sekolah Tinggi Keguruan dan Ilmu Pendidikan (STKIP) Pasundan melalui pelbagai aktiviti kreatif dan inovatif.

Antara aktiviti menarik yang diadakan seperti Bengkel Canting Nusantara yang memperkenalkan teknik batik Malaysia dan Indonesia, Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk mengukuhkan minat pelajar terhadap sains dan teknologi serta program Cassava Couture yang mengajar ibu-ibu kampung mereka bentuk pembungkusan produk makanan menggunakan aplikasi Canva.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Dapat memenuhi inspirasi universiti

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi memuji usaha mahasiswa ini yang selaras dengan Aspirasi UiTM 2025.

"Program bukan sekadar lawatan akademik. Ia platform yang betul-betul membentuk pemimpin masa depan melalui penglibatan aktif dalam pembangunan komuniti,” ujarnya.

Beliau berkata, program itu memperkukuh Modul UTAMA (Usaha, Taqwa, Mulia) yang menjadi teras pembangunan sahsiah mahasiswa UiTM yang lebih unggul, dinamik dan berketrampilan.

Dalam pada itu, Pengetua Kolej Kediaman Angsana Casuarina, Nurul Ainun Ahmad Atory pula berkata, program membuktikan mahasiswa UiTM mampu menjadi duta budaya yang berkesan.

"Dialog Kelestarian ASEAN yang dijalankan menghasilkan empat resolusi penting dalam kesihatan mental, keusahawanan sosial, kepimpinan ASEAN dan kesenian budaya.

“Ini menjadi titik tolak dan panduan kepada program yang akan di laksana ke peringkat institusi masing-masing pada masa akan datang," katanya.

Buka peluang kerjasama luas

Program Casuarajawali 2025 melibatkan kolaborasi strategik dengan tiga institusi pendidikan terkemuka di Indonesia iaitu Universitas Negeri Jakarta (UNJ), Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) Bandung dan STKIP Pasundan, serta Kampung Adat Cireundeu.

Ia turut mendapat sokongan padu daripada Malaysian Academy of SME & Entrepreneurship Development (MASMED) UiTM, Fakulti Pendidikan dan Education Malaysia Indonesia Jakarta.

Manakala penaja utama program ini adalah KAS Engineering, NGO Dana Kita dan Wardah yang yakin dengan potensi kerjasama pendidikan tinggi Malaysia-Indonesia.

Kejayaan program itu dijangka membuka peluang kerjasama lebih luas dengan institusi pendidikan di rantau Asia Tenggara untuk memperkukuh ekosistem pembelajaran kolaboratif serantau.

Dalam masa sama, Casuarajawali 2025 juga menyumbang kepada sembilan Penunjuk Prestasi (PI) UiTM dan menyokong sembilan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu khususnya dalam pendidikan berkualiti dan kerjasama antarabangsa.

Maklumat penulis:

Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan, UiTM, Sumardianshah Silah

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp