KTC Petronas lahir 211 graduan dalam bidang TVET di Sabah
Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di Kimanis, Papar, Sabah berjaya melahirkan 211 graduan sejak ditubuhkan pada 2011.
Pengurus Besar Petronas Technical Training Sdn Bhd (PTTSB), Azhar Ahmad berkata, Petronas melalui pusat latihan teknikalnya, Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) telah memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pembangunan pembangunan modal insan.
"Sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas, INSTEP menubuhkan KTC di Kimanis dengan tujuan membangunkan keupayaan tenaga kerja Sabah dalam industri minyak dan gas.
"Sehingga kini, KTC telah melahirkan seramai 211 graduan teknikal dengan kadar kebolehpasaran sebanyak 93 peratus dengan Petronas, kontraktor minyak gas atau sebagai pekerja bebas," katanya.
Katanya lagi, KTC menjadi bukti komitmen Petronas dalam melahirkan tenaga kerja teknikal yang berkemahiran tinggi, selari dengan agenda pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) nasional sebagai 'game changer' dalam penekanan kerajaan yang semakin meningkat terhadap TVET.
"KTC memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang kemahiran dan mempersiapkan individu untuk industri yang mempunyai permintaan tinggi dan menyediakan pengalaman praktikal secara langsung, untuk memenuhi permintaan industri dan memacu pertumbuhan ekonomi.
"Dengan menyokong aspirasi kemenangan kami 'Rakan penyelesaian progresif dalam mempertingkatkan bidang tenaga untuk masa depan yang mampan', kami sentiasa bergerak ke hadapan untuk merintis perjalanan pembelajaran dan pensijilan teknikal dalam mempercepatkan pembangunan kompetensi.
"Saya mengharapkan semua pelatih telah mendapat pengalaman yang bermanfaat dan penuh pengajaran sepanjang latihan di KTC serta dapat menerapkan segala yang ilmu yang telah dipelajari di KTC," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen KTC Petronas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat.
Jelas beliau, di Sabah, KTC komited untuk membangunkan dan melengkapkan belia di negeri ini dengan kemahiran serta kelayakan yang diperlukan bagi menceburi industri minyak dan gas.
"KTC juga mengutamakan keluarga B40 dan bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh, pelajar dipilih dari pelbagai daerah di Sabah.
"KTC menawarkan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dalam bidang Instrumentasi dan Kawalan Perindustrian iaitu program latihan sepenuh masa selama tiga tahun bertujuan menghasilkan pekerja mahir.
"Majlis konvokesyen 2024 diadakan untuk meraikan kejayaan graduan kemasukan tahun 2021 yang telah berjaya menamatkan diploma tiga tahun mereka dalam bidang Instrumentasi dan Kawalan," tuturnya.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, peranan KTC memberi peluang kepada anak muda khususnya golongan B40 untuk insan berdaya saing seiring dengan kehendak situasi ekonomi negara ketika ini.
Katanya, bidang TVET sebagai landasan pengajian anak muda adalah satu langkah bijak berdasarkan kepada kadar kebolehpasaran graduan yang mencecah hampir seratus peratus.
"Syabas dan tahniah kepada KTC Petronas yang telah berjaya melahirkan ramai graduan sejak 2011. Apa yang menariknya, hasil daripada latihan mereka yang mendapat diploma ini, hampir 100 peratus mereka dari sudut kebolehpasaran.
"Inilah yang diharapkan Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) agar apa-apa kursus atau program yang dilaksanakan perlu impaknya untuk menjadikan anak kita berdikari," beritahu Mohd Arifin.