Sejak sedekad lalu kualiti pendidikan tinggi ditawarkan IPT tempatan setanding dengan IPT di negara maju, malah ada yang lebih baik. (Gambar hiasan)
Sejak sedekad lalu kualiti pendidikan tinggi ditawarkan IPT tempatan setanding dengan IPT di negara maju, malah ada yang lebih baik. (Gambar hiasan)

Kualiti pendidikan tinggi Malaysia bertaraf dunia

16 May 2024 12:31pm

Persepsi universiti luar negara lebih berkualiti berbanding institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan sudah tidak relevan kerana penarafan yang dikeluarkan badan penarafan universiti dunia menyaksikan ia setara dengan penyedia pendidikan tinggi global.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, sekitar 30 tahun lalu masyarakat lebih memilih menghantar anak menyambung pengajian ke luar negara terutama ke United Kingdom dan Amerika Syarikat kerana tahap kualiti pendidikan tinggi di sana yang baik.

Bagaimanapun katanya, sejak sedekad lalu kualiti pendidikan tinggi ditawarkan IPT tempatan sudah pun setanding dengan IPT di negara maju, malah ada yang lebih baik.

"Pencapaian sejumlah 26 universiti tempatan yang memasuki senarai penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2024 yang dikeluarkan baru-baru ini, membuktikan kualiti pendidikan tinggi negara bertaraf dunia.

"Justeru, diharap masyarakat di negara ini terus yakin dengan IPT tempatan sama ada awam atau swasta kerana dalam konteks kualiti, MQA akan sentiasa memantau dan mengawal selia," katanya.

MOHAMMAD SHATAR
MOHAMMAD SHATAR

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, dulu mungkin kita masih ketinggalan kerana jumlah universiti tempatan masih sedikit dan kualitinya belum seperti sekarang membuatkan masyarakat berlumba-lumba untuk menghantar anak ke luar negara.

Artikel Berkaitan:

Berbeza kini, beliau berkata, masyarakat perlu memanfaatkan kelebihan yang ada pada IPT tempatan ini untuk menghantar anak mereka mengikuti pengajian tinggi atau meningkatkan kelayakan diri sendiri melalui penawaran pendidikan fleksibel dengan mengikuti kursus micro-credentials dan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

Katanya, masyarakat tidak perlu risau atau bimbang untuk menyambung pengajian di IPT tempatan sama ada di IPT awam mahu pun swasta kerana kualiti programnya dikawal selia oleh MQA.

"Mereka hanya perlu pastikan program yang mahu diikuti mendapat pengiktirafan daripada MQA yang boleh disemak dengan mudah menerusi Daftar Kelayakan Malaysia (MQR).

"Masyarakat juga dapat berjimat dan tidak perlu risau dengan pertukaran wang asing kerana tidak perlu ke luar negara seterusnya dapat merancakkan pusingan ekonomi tempatan dan mengurangkan wang ke luar negara," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp