Sebahagian peserta mengikuti aktiviti Matematik menerusi Kembara Angka Siri 3, baru-baru ini.
Sebahagian peserta mengikuti aktiviti Matematik menerusi Kembara Angka Siri 3, baru-baru ini.

Kuasai Matematik melalui program pemindahan ilmu

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
28 Aug 2024 10:50am

Program pemindahan ilmu memainkan peranan penting dalam menjadi perantara antara golongan pakar dan masyarakat umum.

Dengan adanya program seperti ini, kita dapat memastikan bahawa pengetahuan dan inovasi sedia ada tidak akan terhenti kepada satu generasi sahaja.

Berikutan kepentingan itu, sekumpulan mahasiswa dan pensyarah, Profesor Madya Ts Dr Shazlyn Milleana Shaharudin dari Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyahut cabaran dengan melaksanakan program tersebut di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lipis, Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini.

Program pemindahan ilmu melalui bahan bantu mengajar bagi subjek Matematik atau nama khasnya, Kembara Angka Siri 3 disertai 46 pelajar dan 14 guru Matematik dari 14 buah sekolah sekitar PPD Lipis.

No Image Caption

Ia berfokuskan tentang perkongsian mengenai kit Matematik yang dibangunkan mahasiswa UPSI untuk memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) Matematik di sekolah lebih mudah dan berupaya menarik minat mereka terhadap subjek itu.

Menurut Penyelaras Program, Shazlyn Milleana, terdapat tiga buah kit yang diperkenalkan iaitu Kit Mabox mengenai topik Pelan dan Dongakan; Kit Transiso berkaitan Tranformasi Isometri dan Kit Algebase yang berfokuskan bidang Perkaitan dan Algebra.

Kata beliau, semua kit yang diketengahkan telah memenuhi keperluan berdasarkan Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mampu memudahkan penyampaian konsep Matematik kepada murid.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, penggunaan semua kit aktiviti Matematik dalam PdP mampu meningkatkan penglibatan murid di dalam kelas berbanding menggunakan kaedah pengajaran tradisional iaitu chalk and talk semata-mata.

No Image Caption

"Mereka begitu bersemangat ketika menggunakan ketiga-tiga kit dan memaklumkan, pembelajaran Matematik menjadi mudah.

"Dengan perkongsian ini, secara tidak langsung memberi peluang kepada kami (warga Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik) untuk menganjurkan lebih banyak program pemindahan ilmu dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

No Image Caption

"Hal ini selari dengan hasrat Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff yang menggalakkan pensyarah dan mahasiswanya untuk terus menyumbang idea kreatif dan inovatif kepada komuniti,” katanya kepada Sinar Bestari.

Kesimpulannya, program pemindahan ilmu daripada institusi pendidikan kepada komuniti wajar diteruskan supaya tahap pendidikan di sesebuah lokasi dapat dipertingkatkan sekali gus menyokong usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mahu memberdayakan komuniti dan industri melalui program pemindahan dan perkongsian ilmu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp