Mahasiswa baharu UKM bersama pengurusan tertinggi melakukan senamrobik di Stadium UKM melalui program Megafit Batik@UKM.
Mahasiswa baharu UKM bersama pengurusan tertinggi melakukan senamrobik di Stadium UKM melalui program Megafit Batik@UKM.

Lain sungguh minggu orientasi UKM, pengalaman luar biasa buat pelajar baharu

05 Oct 2024 12:00pm
A
A
A

Minggu orientasi pelajar baharu tidak asing lagi di negara kita.

Minggu orientasi ini bukan hanya dilaksanakan di sekolah-sekolah, malah universiti juga tidak ketinggalan mengadakannya dengan pelbagai cara yang berbeza.

Tujuan utama orientasi adalah untuk mengenali lebih dekat pelajar-pelajar baharu dengan pentadbiran, proses pengajaran dan pembelajaran serta kemudahan yang disediakan di sekolah atau universiti, selain mengenali dengan lebih dekat antara satu sama lain.

Baru-baru ini, tular di media sosial ‘masih relevankah minggu orientasi ini?’ Tepuk dada, tanya selera.

Minggu orientasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau lebih dikenali sebagai Minggu Apresiasi Watan 2024/2025 mengubah paradigma orientasi universiti dengan menawarkan sesuatu yang lebih daripada sekadar pengenalan biasa kepada pelajar baharu.

Bermula dengan program Jejak Pewaris Watan, UKM menunjukkan tanda penghargaan kepada pelajar baharu yang kurang bernasib baik dengan menyampaikan bantuan keperluan harian dan sokongan moral kepada mereka serta keluarga.

Langkah ini memperlihatkan keprihatinan UKM terhadap persiapan pelajar baharu sebelum memulakan perjalanan akademik mereka di universiti.

Keunikan Minggu Apresiasi Watan terletak pada perancangannya yang fleksibel dan inklusif, di mana aktiviti-aktiviti disusun secara hibrid, menggabungkan kaedah dalam talian serta fizikal.

Pengenalan kepada pusat tanggungjawab universiti seperti Pusat Pengurusan Akademik, Pusat Kesihatan Universiti, dan Pusat Pengajian Citra dilakukan secara maya, memberikan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi terus dengan pusat-pusat ini melalui media sosial UKM.

Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus tetapi mengurangkan tekanan biasa dalam minggu orientasi yang selalunya terlalu padat.

Malah video-video rakaman interaksi bersama pelajar secara maya ini disimpan dan pelajar boleh ulang tonton sekiranya mereka tidak memahami urusan pengajian di kampus.

Zambry dan Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman bergambar bersama pelajar baharu UKM selepas sesi 'In Person with Doc Zam'.
Zambry dan Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman bergambar bersama pelajar baharu UKM selepas sesi 'In Person with Doc Zam'.

Bersama Doc Zam

Salah satu aktiviti dalam Minggu Apresiasi Watan yang mencuri tumpuan adalah kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, dalam program In Person with Doc Zam.

Acara yang julung kali diadakan ini memberi peluang kepada pelajar baharu untuk mendekati beliau dan mendengar perkongsian inspirasi serta nasihat berguna.

Kehadiran Zambry bukan sahaja memberikan motivasi kepada pelajar tetapi menonjolkan UKM sebagai sebuah institusi yang menghargai interaksi antara pemimpin negara dan pelajarnya.

Menariknya, UKM merupakan universiti pertama kunjungan Zambry dan program ini memberi impak besar kerana pemimpin utama KPT turun ke kampus berkongsi pengalamannya ketika belajar hingga memberikan inspirasi buat warga watan baharu UKM.

Selain itu, UKM turut menzahirkan keprihatinan terhadap isu global dengan menganjurkan malam UKM Berselawat: Demimu Palestin, di mana pelajar dan warga universiti bersama-sama menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.

Hal ini membuktikan bahawa UKM bukan sahaja melahirkan graduan cemerlang akademik, tetapi juga individu yang peduli terhadap isu kemanusiaan sejagat.

Malam Wira Watan pula memperkenalkan badan-badan beruniform di UKM seperti Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Kor-Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) dan Pasukan Siswa APM (SISPA) kepada pelajar baharu.

Acara ini memberi gambaran kepada mereka mengenai peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti berunsur patriotisme dan disiplin, sekali gus memupuk nilai kepimpinan dan tanggungjawab.

Mahasiswa baharu UKM bersama pengurusan tertinggi melakukan senamrobik di Stadium UKM melalui program Megafit Batik@UKM.
Mahasiswa baharu UKM bersama pengurusan tertinggi melakukan senamrobik di Stadium UKM melalui program Megafit Batik@UKM.

Megafit Batik@UKM catat MBOR

Kemuncak minggu ini adalah pencapaian besar UKM apabila berjaya mencatat Malaysia Book of Records dengan mengadakan Megafit Batik@UKM iaitu acara senamrobik terbesar bertemakan batik yang melibatkan 5,534 peserta.

Program ini tidak hanya disertai oleh pelajar baharu, tetapi juga kakitangan dan pelajar lama, menunjukkan semangat perpaduan warga UKM.

Aktiviti senamrobik ini bukan sahaja mempromosikan kesihatan dan kecergasan, tetapi juga mengangkat seni dan warisan Malaysia melalui tema batik yang dipilih.

Di akhirnya, minggu oreintasi ini menjulang adat, budaya dengan persembahan kebudayaan dari pelajar baharu, pemimpin pelajar, bonda dan ayahanda pengetua kolej akademia serta dekan dan persembahan penutup daripada pengurusan tertinggi UKM yang diketuai oleh Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Jelas sekali, orientasi UKM sangat unik dan relevan dengan tuntutan semasa.

Mahasiswa baharu UKM mengibarkan bendera Palestin semasa program UKM Berselawat: Demimu Palestin.
Mahasiswa baharu UKM mengibarkan bendera Palestin semasa program UKM Berselawat: Demimu Palestin.

Minggu Apresiasi Watan UKM ini adalah selari dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi yang baru-baru ini, menegaskan bahawa tiada keperluan untuk menghentikan minggu orientasi di universiti awam.

Menurutnya, program orientasi ini masih relevan kerana ia memperkenalkan pelajar kepada dunia baharu yang bakal mereka tempuhi di universiti.

Beliau juga menambah bahawa pengisian yang berkaitan amat penting untuk memastikan program orientasi mencapai objektif, iaitu membantu pelajar menyesuaikan diri di institusi pengajian tinggi.

Pendirian ini menunjukkan bahawa orientasi di UKM masih relevan dan penting dalam membentuk pengalaman awal pelajar.

Minggu Apresiasi Watan bukan sekadar orientasi biasa tetapi ia menggabungkan elemen akademik, kebudayaan, patriotisme dan kesihatan dalam satu minggu yang penuh inspirasi dan bermakna.

UKM membuktikan bahawa mereka terus relevan dalam melahirkan pemimpin masa depan negara dengan menyediakan pelajar kepada cabaran dunia baharu mereka.

Maklumat Penulis

Timbalan Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ts Dr Ahmad Firdhaus Arham

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok