
LAPIS 2.0 perkasa kemahiran komunikasi, kepimpinan murid
Seramai 53 pemimpin murid Tahun 5 dan 6 dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7, Shah Alam berjaya mengikuti program 'Leadership Apprenticeship 2.0' (LAPIS 2.0) untuk memperkasa kemahiran komunikasi serta kepimpinan pelajar.
Program anjuran pelajar Pengurusan Komunikasi dan Polisi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Shah Alam menampilkan pelbagai aktiviti interaktif bersesuaian dengan umur murid.
Pengarah Program LAPIS 2.0, Uma Angelina Peter berkata, kejayaan program ini merupakan hasil perancangan rapi dan kolaborasi erat bersama pensyarah kursus sejak awal semester.
Katanya, ia meliputi reka bentuk modul latihan, pelaksanaan kajian rintis dan simulasi latihan bersama pelajar sekolah tersebut.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen, dedikasi dan sokongan padu dalam menjayakan LAPIS 2.0, khususnya pihak sekolah, pensyarah, fasilitator serta penaja.
“Tidak dilupakan juga kepada adik-adik yang sentiasa bersemangat dan bekerjasama sepanjang program berlangsung,” katanya.

Program LAPIS 2.0 menampilkan pelbagai aktiviti seperti ‘Lead Games’, ceramah kepimpinan, lakon peranan melalui 'Lead Showcase' dan permainan kolaboratif seperti ‘Ping Pong Train Race’ serta ‘Pen Point’.
Permainan tersebut direka untuk membina kemahiran komunikasi dan kepimpinan dalam kalangan pelajar sekolah rendah itu.
Sementara itu, Guru Besar SK Seksyen 7, Noor Hashimi Hasani berkata, program LAPIS 2.0 ini membawa kelainan berbanding aktiviti kepimpinan lain.
Katanya lagi, pihak sekolah mengharapkan kolaborasi kedua-dua pihak tersebut dapat diteruskan demi manfaat pelajar.
“Sekolah ini sudah biasa menjalin kerjasama melalui program yang dijalankan bersama Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Filem, Teater dan Animasi dari UiTM.
“Jadi, latihan komunikasi kepimpinan seperti LAPIS ini merupakan kolaborasi berterusan yang kami harap akan terus dilaksanakan demi manfaat pelajar kami,” katanya.
Selain itu, bagi guru kaunseling sekolah berkenaan, Najla Azmi berkata, pelajar sangat teruja dan bersemangat apabila mendapat makluman berkenaan program yang dilaksanakan.

Ini kerana mereka telah mendengar maklum balas yang positif daripada para pelajar yang telah menyertai program LAPIS siri pertama pada bulan Disember 2024 lepas.
“Program seperti ini walaupun bukan pertama kali dianjurkan di sekolah ini, tetapi ia sangat membantu pelajar dalam mengingati semula aktiviti yang telah dilakukan dan mengukuhkan pemahaman tentang ciri-ciri seorang pemimpin.
“Program seperti ini perlu diadakan secara berkala dan pendekatan latihan yang pelbagai adalah penting dalam membentuk sahsiah para pelajar,” jelasnya.