MedSTEM Explorers 2025 perkasa 80 murid Orang Asli Negeri Sembilan

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
14 May 2025 08:30am

Hampir 80 orang pelajar sekolah rendah daripada komuniti Orang Asli di Negeri Sembilan telah mengambil bahagian dalam Program MedSTEM Explorers 2025 iaitu sebuah program pendidikan khas anjuran Fakulti Sains Kesihatan, KPJ Healthcare University (KPJU) dengan kolaborasi Jabatan Pendidikan Negeri, Negeri Sembilan dan Pejabat Ahli Parlimen Rasah.

Acara sehari yang penuh bermakna ini berlangsung di Sekolah Kebangsaan (Orang Asli) Tekir dan menghimpunkan pelajar dari empat buah sekolah Orang Asli mewakili daerah Seremban, Kuala Pilah, Jelebu dan Jempol iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) (Orang Asli) Sungai Sampo, SK (Orang Asli) Senibai, SK (Orang Asli) Putra dan serta SK (Orang Asli) Tekir selaku tuan rumah.

Program yang berlangsung pada April lalu itu juga melibatkan seramai 25 mahasiswa dan tiga pensyarah KPJU dari pelbagai kursus pengajian termasuk Pengimejan Perubatan, Farmasi, Jururawat, Fisioterapi dan Terapi Cara Kerja.

Program ini memberi tumpuan kepada pendedahan awal terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan pengkhususan kepada sektor kesihatan, khusus untuk pelajar luar bandar. Usaha ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan penglibatan murid daripada kumpulan minoriti dalam pendidikan berasaskan STEM.

Mohd Azmani menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Norhayati selaku pengarah program.
Mohd Azmani menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Norhayati selaku pengarah program.

Pengarah program, Profesor Ts Dr Norhayati Mohd Zain berkata, MedSTEM Explorers dirangka memperkenalkan pelbagai cabang profesion kesihatan kepada murid seperti radiografi, jururawat, farmasi, fisioterapi dan terapi pemulihan cara kerja.

“Aktiviti-aktiviti praktikal seperti eksperimen sains, pembinaan model tubuh manusia dan simulasi kesihatan membolehkan murid memahami konsep STEM dalam konteks sebenar. Mereka juga dapat mengasah kebolehan bekerja dalam kumpulan serta menyelesaikan masalah secara kreatif,” jelas beliau yang juga merupakan pensyarah kanan di Jabatan Pengimejan Perubatan KPJU.

Beberapa aktiviti menarik yang dijalankan sepanjang program termasuk Human Puzzle, di mana pelajar menyusun model organ manusia; membina sistem peredaran darah; dan simulasi penjagaan kesihatan yang melibatkan pengiraan BMI serta amalan mencuci tangan secara betul.

Artikel Berkaitan:

Wakil Pejabat Parlimen Rasah, Azhar Kasim yang hadir dalam sesi perasmian penutup program turut menegaskan potensi pelajar Orang Asli untuk cemerlang dalam bidang sains, sekiranya mereka diberikan ruang dan pendedahan yang sesuai sejak awal.

Perasmian penutup turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi KPJU, Profesor Dr Mohd Azmani Sahar; Guru Besar SK Tekir Dasmah Mamat dan Tok Batin Kg Tekir Labu, Ramli Taka.

Para pendidik dan ibu bapa yang turut serta menyatakan penghargaan terhadap program ini kerana membuka mata anak-anak mereka kepada peluang kerjaya baharu yang bukan sahaja menarik, malah memberi impak besar kepada komuniti.

Dengan kejayaan pelaksanaan MedSTEM Explorers 2025, KPJU dan rakan strategiknya berharap program ini dapat diteruskan dan diperluas untuk melahirkan generasi baharu pelajar Orang Asli yang berwawasan sekali gus menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang kesihatan negara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp