
Lebih 3,000 pelajar baharu USM teruja sertai sesi santai 'In Person With Doc Zam'
Lebih 3,000 pelajar baharu di Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM) teruja mengikuti sesi santai 'In Person With Doc Zam', program khas yang memberi peluang kepada mereka berinteraksi secara langsung dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Program yang julung kali diadakan di USM itu bertujuan memperkukuh hubungan antara pelajar dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selain membuka ruang kepada pelajar baharu untuk berkongsi pandangan, mengemukakan soalan dan mendapatkan inspirasi dalam suasana mesra serta penuh makna.
Menurut Zambry, hasrat utama KPT adalah melahirkan graduan yang mampu menguasai ilmu pengetahuan bertaraf global serta mencapai kejayaan di peringkat tertinggi.
Beliau menegaskan bahawa graduan bukan sahaja perlu berfikiran jauh dan berdaya global, tetapi juga harus memahami realiti masyarakat serta memberi sumbangan kepada negara.
"Kita mahu graduan kita 'menggapai langit' dengan ilmu pengetahuan global, namun dalam masa yang sama perlu ‘mengakar ke bumi’ dengan memahami dan menyumbang kepada masyarakat.

"Orang yang paling berjaya ialah mereka yang belajar daripada kegagalan; jadikan setiap cabaran sebagai landasan untuk menjadi lebih baik," katanya dalam program tersebut.
Turut hadir memeriahkan sesi berkenaan ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman; Menjalankan Fungsi Pengarah Lembaga Gabenor Universiti, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said; Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed serta barisan Timbalan Naib Canselor dan pengurusan tertinggi universiti.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, program tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali pemimpin negara dengan lebih dekat sekali gus membina keyakinan dan semangat kepimpinan dalam kalangan generasi muda.
"Suara dan pandangan pelajar merupakan sebahagian daripada ekosistem pendidikan inklusif yang diutamakan USM, sejajar dengan matlamat universiti untuk melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berjiwa kepimpinan.
"Program ini memberi ruang kepada kita mendengar aspirasi pelajar secara langsung, kerana mereka adalah nadi universiti dan bakal pemimpin masa hadapan," katanya.

Program yang dihoskan oleh alumni USM, Ahmad Fedtri Yahya, turut menjadi antara pengisian utama Minggu Siswa Lestari USM bagi Sidang Akademik 2025/2026.
Dalam majlis tersebut, USM turut menyerahkan beberapa sumbangan khas kepada pelajar yang memerlukan, termasuk sumbangan Yayasan Perkasa Siswa berjumlah RM1,000 setiap seorang kepada 15 pelajar kurang berkemampuan dan 50 komputer riba bernilai RM100,000 kepada pelajar B40, pelajar kurang upaya (OKU) serta siswa sulung.
Menurut Abdul Rahman, usaha itu mencerminkan komitmen USM dalam melahirkan graduan berkualiti selain mendokong aspirasi Malaysia Madani untuk memperkasa pendidikan tinggi yang inklusif, berdaya saing dan berteraskan kesejahteraan.
"USM yakin pelbagai inisiatif yang dilaksanakan akan membantu pelajar mencapai kecemerlangan akademik di samping mengekalkan keseimbangan kehidupan kampus yang lebih holistik," tambahnya.

INFO
Antara inisiatif lain yang disediakan USM adalah:
1) 600 Kit Bantuan Keperluan Asas Penginapan bernilai RM60,000 yang diagihkan secara percuma kepada pelajar kategori B40, miskin tegar, OKU dan siswa sulung.
2) Bantuan Awal Pengajian berjumlah RM200,000 kepada 400 pelajar B40 miskin tegar, OKU dan siswa sulung, disalurkan sebaik sahaja mereka mendaftar pada hari pertama.
3) Peruntukan khas RM2.8 juta bagi pengambilan siswa sulung Sidang Akademik 2025/2026 membabitkan 280 pelajar.

4) Peruntukan inisiatif pembangunan RM1.1 juta (Fasa 1) bagi menggantikan perabot lama di desasiswa dengan perabot baharu, bertujuan memberikan keselesaan dan pengalaman pembelajaran yang terbaik buat pelajar.
5) Perkhidmatan pengangkutan percuma bagi membantu pelajar yang menghadapi masalah perjalanan termasuk khidmat van khas Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) untuk menjemput terus dari kediaman pelajar serta penyediaan pick-up point di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Terminal Bas Sungai Nibong, dan Jeti Pulau Pinang.
Ringkasan AI
- Lebih 3,000 pelajar baharu di USM menghadiri program 'In Person With Doc Zam' untuk berinteraksi dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir
- Program ini bertujuan memperkukuh hubungan antara pelajar dengan KPT dan memberi peluang berkongsi pandangan
- Zambry menginginkan graduan yang mampu menguasai ilmu pengetahuan global dan memberi sumbangan kepada masyarakat
- USM menyediakan inisiatif seperti sumbangan khas kepada pelajar kurang berkemampuan dan peruntukan untuk pembangunan fasiliti dan bantuan keperluan asas
- Program ini adalah sebahagian dari Minggu Siswa Lestari USM untuk Sidang Akademik 2025/2026, menunjukkan komitmen terhadap pendidikan holistik dan inklusif