Lestarikan mahasiswa IPT dengan aktiviti sukarelawan sebagai gaya hidup sihat
Aktiviti sukarelawan dan khidmat masyarakat dalam kalangan mahasiswa hari ini bukanlah sesuatu yang baru bahkan dengan penglibatan mereka di peringkat badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi sendiri telah menjadikan aktiviti ini sebagai satu gaya hidup (lifestyle).
Selari dengan konsep Malaysia Madani yang berlandaskan enam perkara iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, baru-baru ini seramai 10 mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah telah terlibat dalam satu aktiviti sukarelawan.
Aktiviti tersebut merupakan satu inisitif melibatkan program amal jariah dengan menyantuni anak-anak asnaf berumur 12 tahun ke bawah di kawasan setempat di Sungai Petani, Kedah.
Program yang berlangsung selama dua jam itu mendapat kerjasama Malaysia Relief Agency Cawangan Kedah di bawah Program IQ dengan membawa slot bertajuk Hidup adalah Projek dan Saya Pengurus Projek (Khalifah ALLAH): Siapa saya dan apakah tujuan kita di kehidupan ini diikuti aktiviti mewarna serta jamuan makan bersama-sama.
Sementara itu, beberapa mahasiswa yang terlibat dalam program berkenaan turut berkongsi pandangan mereka tentang aktiviti sukarelawan terbabit.
Ini kata sebahagian daripada penuntut UiTM Kedah.
1)“Aktiviti sukarelawan ini memupuk rasa kasih sayang sesama insan, tidak sombong dan membina kekuatan dalaman agar kental dalam mendepani risiko dalam kehidupan. Ia akan menjadikan persekitaran dan pengalaman itu sebagai panduan dalam kehidupan kerana keadaan boleh berubah bila-bila masa.” - Nurul Adila Azeha
2)“Aktiviti sukarelawan ini menjadikan setiap individu sebagai pengurus projek dan seorang ahli pasukan yang baik. Sikap sebegini amatlah diperlukan apatah lagi ketika berkecimpung dalam dunia pekerjaan kelak sama ada sebagai job seeker atau job creator. Pengalaman bersama-sama pensyarah sebagai coaching dan mentor sangat membantu memberikan keyakinan untuk unleashing the potential.” - Mohammad Izzul Hakimi Zaki
3)“Sukarelawan ini sangat membantu mahasiswa untuk menjadi pemimpin yang berketrampilan, kreatif, kompeten dan turut menghindari aktiviti-aktiviti yang tidak sihat serta masalah mental yang kini menjadi penyakit kritikal dalam kalangan mahasiswa. Malah melalui aktiviti sukarelawan ini juga dapat memupuk sikap kerjasama antara kumpulan dalam bergandingan bahu dan menjayakan program yang dilaksanakan dengan cemerlang.” - Nurul Aishah Fadzli
Maklumat Penulis
Pensyarah Kanan Pengurusan Projek dan Pengurusan Stategik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM Kedah, Nurulaini Zamhury